Wednesday, January 6, 2010

Mak Basuh Ini Kerana Allah

Assalamualaikum,

Terima kasih kpd sahabat dan rakan-rakan yang sms dan send email ucap takziah di atas pemergian allahyarhamah bonda saya ke rahmatullah jam 12:18 tengahari tanggal 28 Dec 09 yang lalu. Arwah pergi setelah hampir 2 minggu terlantar koma diserang brain tumor.

Tidak ada kata-kata sedih yang mampu saya guriskan di sini, kerana sesungguhnya saya benar-benar meredhai pemergian arwah; masih saya ingat tatkala berada dalam lubang kubur menyambut jenazah bonda, di kala saya menghulurkan kepala ke dalam liang lahad merungkaikan tali putih yg membalut jenazahnya saya terasa benar-benar merelakan pemergian beliau, seolah-olahnya hati kecil saya berkata:

"Mak rehatlah kat sini baik-baik, Mak orang baik, insyallah Tuhan akan jaga Mak! "

Entah kenapa, bila berada begitu dekat dengan tempat terakhir persemadian kita semua ini - berada dalam liang lahad - membuatkan saya benar benar terasa bahawa sesungguhnya MATI itu BENAR, LUBANG KUBUR itu BENAR dan LIANG LAHAD itu juga BENAR!

Saya tidak begitu sedih selepas arwah bonda dikebumikan kerana jauh di sudut hati, saya merasakan bahawa arwah sudah pun punya "penjaga" nya di alam kubur sana. Yang saya fikirkan ialah macam mana dengan diri saya nanti, mampukah saya bersedia seperti mana arwah mempersediakan dirinya bertahun-tahun untuk menghadapi saat akhirnya itu.

Saya bukan nak memuji atau menulis yang indah-indah mengenai arwah bonda saya; memang untuk setiap kita, bonda kitalah yang terbaik antara semua. Yang ingin saya garapkan di sini adalah kekaguman saya terhadap arwah yang saya rasa ada baiknya untuk dikongsi bersama.

Malam itu selepas arwah dikebumikan, tatkala bersembang panjang dengan jiran-jiran yang merupakan kawan-kawan baik arwah sewaktu hayatnya, bila mereka bercerita mengenai arwah, saya cakap:

"Kalau org tanya saya pasal mak, ada satu benda yang akan saya habag - MAK SAYA INI ADALAH SATU SATUNYA MANUSIA YANG PERNAH SAYA JUMPA, YANG PERNAH SAYA KENAL YANG BETUL-BETUL PERCAYA DENGAN TUHAN - bukan percaya takat percaya saja, tapi percaya sungguh-sungguh! !"

Ya lah, saya pun percaya juga dengan Tuhan, tapi bila org kata Tuhan dok habag dlm quran suruh bersedia untuk hadapi kematian, nanti kita tukaq topik sembang bab lain. Atau pun bila Ustaz kata Tuhan suruh banyakkan zikir dan baca quran sebagai bekalan pahala untuk hari kemudian, kita dengar sajalah lepas tu bila balik rumah sibuk ngadap TV atau pun PC sampai larut malam.

Sedaq-sedaq dah sampai kat lubang kubuq dah.

Pasal apa saya kata arwah bonda saya ni betul-betul percaya dgn Tuhan?

Sebabnya arwah sudah pun bersedia untuk menghadapi hari yg dijanjikan Tuhan ini (kematian) sejak bertahun-tahun yang lalu, terutamanya selepas pemergian mengejut arwah ayahanda saya diserang sakit jantung kira-kira 9 tahun yang lalu.

Bertahun-tahun arwah menyediakan kain-kain sarung tidak berjahit, beliau pesan gunakan kain-kain itu nanti sebagai penutup jenazah di atas pembaringannya kelak. Turut disediakan ialah kain-kain perca (tali-tali putih) untuk mengikat jenazah di waktu kapan nanti. Bukan itu saja, beberapa bulan sebelum kematiannya arwah membeli kerusi malas; waktu dimasukkan ke hospital sebulan sebelum jatuh koma, arwah cakap sendiri kat saya yang dia rasa dia nak mati dah, dan minta dimandikan atas kerusi malas tu nanti bila dia meninggal kelak.

Itu persedian dari segi fizikal, dari segi agama pulak - arwah betul betul percaya dengan Tuhan - percaya sungguh-sungguh dengan wujudnya alam selepas mati - percaya dengan balasan baik dan jahat, balasan syurga dan neraka.

Apa tidaknya, arwah boleh dikatakan tak pernah miss solat Dhuha dan juga solat Tahajud serta solat hajat mendoakan kesejahteraan anak-anaknya di waktu malam. Bacaan quran ini tok sah dok habaglah - surah yasin, surah al-mulk, surah al-waqiah, al-kahfi dll dah jadi macam facebook/internet/ email untuk kebanyakan kita. Sehari tak buka baca, rasa macam terlepas berita-berita utama dunia, rasa tak lengkap tanpanya.

Cakap pasal solat Tahajud, anak dia yg menulis ini cuma mampu tulis pasal arwah mak dia saja lah, doakanlah di suatu musim nanti, anak dia juga akan diberi hidayat untuk mampu bangun solat tahajud saban malam seperti arwah bondanya itu. Anak dia ini kadang-kadang menyalahgunakan bondanya sewaktu hidup dlm bab solat tajahud dan semayang hajat ini. Dah beberapa kali dah, tiap kali anak-anak saya (cucu-cucu arwah) nak ambik periksa UPSR ka, PMR ka SPM apa ka, nanti saya akan balik kg minta arwah mak saya buat solat Tahajud dan semayang hajat mohon yg terbaik untuk anak-anak saya tu.

Alhamdulillah, takat ini 4 org anak saya yg pertama semuanya dapat 5A UPSR berkat doa dan solat tahajud serta semayang hajat arwah nenek depa ini. Lepas ini, tak tau lah pulak saya nak pi minta tolong sapa doa.

Sebetulnya, saya pun boleh buat solat tahajud dan solat hajat juga, tapi saya tak yakin doa saya itu mampu menandingi doa seorang ibu yang hatinya 100% bersih dan bersangka baik dengan Tuhan. Arwah bersangka baik dengan Tuhan dari dulu lagi hinggalah ke hari tuanya. Di waktu kami 9 beradik masih kecik-kecik, sewaktu masih di kg di ulu Baling sana sebelum berpindah ke Felda, tiap-tiap pagi beliau akan junjung dan membimbit dua tiga tas (bakul plastik) besar ke sungai, nak basuh kain-kain tu yg penuh dengan kencing malam kami adik beradik; nak wat guano zaman tu bukannya ada mesin basuh dan pampers lagi di kg kami di Baling tu - nak pakai mesin basuh apa, ayaq dan letrik pun tak dak lagi waktu tu. Tiap-tiap hari arwah dok junjung berbakul-bakul kain kencing kami tu, tak pernah merungut - sebab arwah tau itu adalah tugasnya sebagai seorang ibu, dan redha dengan ketentuan Tuhan untuk kami hidup susah dan miskin sewaktu itu.

Baru-baru ini, sewaktu arwah masih sihat, selepas satu majlis kenduri arwah di rumah kami, banyaklah pinggan mangkuk yang bertimbun menunggu untuk dibasuh. Walaupun punya anak-anak menantu dan cucu yg ramai, tapi arwah terus pi ke dapur dan pi basuh pinggan mangkuk tu, bila adik pompuan saya yg sulung tu tegur suruh arwah rehat biar anak-anak cucu buat, arwah cakap:

"Tat pa, MAK BASUH INI KERANA ALLAH!!"

Saya nak menitis air mata bila adik pompuan saya cerita kisah ini selepas kematian arwah. Bukannya saya sedih - tapi saya sangat kagum dengan arwah - bukan sebab arwah adalah bonda saya, tapi kerana arwah adalah satu-satu manusia yang pernah saya kenal yang betul-betul percaya dengan Tuhan!

Saya berharap mudah-mudahan di suatu hari dalam perjalanan hidup saya yang masih tinggal sisa ini saya mampu mengucap kata-kata yang sama - Aku Buat Ini Kerana Allah - dalam keadaan hati yang penuh ikhlas, jauh daripada sifat riak atau pun sangka baik dgn Tuhan yang hanya muncul sekali sekala.

Mudah-mudahan di atas Kepercayaannya kepada Tuhan yang Satu yang penuh ikhlas tanpa ragu ini, roh arwah akan di tempat di makam yang terpuji yang dijanjikan:

"Mak, bersemadilah dengan tenang mak, insyallah sampai masanya nanti, anakmu ini bakal menyusul tiba!"

Sekian Moga ada Manafaatnya.

moniermatdin@yahoo.com
6 Jan 2010

(Satu-satunya kenangan yg tinggal buat kami adik beradik adalah rumah usang, rumah pusaka di Baling sana yg merupakan hadiah/hantaran perkahwinan arwah bonda dan ayahanda saya dahulu - Al-Fatihah buat ayahanda dan bondaku)





4 comments:

Parliewalla360 said...

Takziah saya ucapkan kepada keluarga En.Monier...

9w2SPA said...

Takziah buat saudara...

yohteh said...

salam takziah...

Unknown said...

takziah. may she rest in peace. al-fatihah.