Wednesday, August 22, 2012

WARGAKILANG: Catatan di Aidilfitri


Aidilfitri baru-baru ini, raya pertama saya balik beraya di kampung halaman saya di Baling, Kedah. Petang tu, saya ajak abang sulung dan adik lelaki saya pi beraya di rumah Pak Chin yang kisah kemiskinan hidupnya ada saya tulis sebelum ini di link berikut:

http://moniermatdin.blogspot.com/2012/07/tazkirah-menjelang-ramadhan.html

Sebelum itu, pada minggu ke-dua Ramadhan, bersama-sama dengan 100 buah kenderaan team JJMK (Jln-Jln Masuk Kg) NGO Wargakilang, kami telah singgah di rumah Pak Chin dalam kerangka konvoi kami melawat dan memberi sumbangan sempena Ramadhan kepada lebih daripada 60 buah keluarga di tiga kawasan parlimen yang berlainan di negeri Kedah.

Menurut kata Pak Chin orang-orang kampung terkejut dengan jumlah kenderaan yang begitu banyak itu. Dan, tambah terkejut lagi Pak Chin bila dia kira jumlah sumbangan cash yang dihulurkan oleh individu/perkumpulan/syarikat/organisasi yang turut serta dalam rombongan kami itu; Pak Chin habag banyaknya memang sungguh tak disangka.

Maka, sebaik-baik saja konvoi JJMK itu pulang, mungkin kerana risau dengan jumlah wang tunai yang agak banyak di tangan barangkali– yang mana kalau dia motong getah, setahun pun belum tentu boleh dapat sebanyak itu - Pak Chin minta tolong seorang Tukang Rumah mai tolong bina bangunan dapur rumahnya dengan kos RM1,100 tunai.

(Sebelum – Pelantar Rumah Pak Chin / Bahagian Dapur)


 (Selepas – Sambungan Dapur Rumah Pak Chin selepas JJMK Wargakilang 4 Ogos 2012)

Alhamdulillah, ada juga hasilnya; tak sia-sialah kami semua masuk kg keluar kg bersesak-sesak dalam keadaan lapar, penat, lesu dan dahaga di tengah panas dan hujan separuh jalan di bulan Ramadhan hari itu.

Di petang aidilfitri itu, Pak Chin merakamkan ucapan ribuan dan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua para dermawan yang bagi cash hari itu atau pun yang bank-in direct ke akaunnya. Bagi Pak Chin, sumbangan yg diberikan untuk sambungan bahagian pelantar rumahnya ini amat bermakna bagi beliau dan keluarga. Kali ini, Alhamdulillah mereka dapat menyambut raya dalam suasana yang sedikit selesa. Terima kasih kepada semua.

Oh, ya – lupa nak habag. Pak Chin juga ada bagitau yang sebahagian daripada beras, gula, kopi dan barangan keperluan harian yang kawan-kawan sumbangkan sebelum dan pada tarikh 4 Ogos itu beliau sedekahkan kepada 12 KELUARGA miskin yang senasib dengannya di kampung-kampung sekitar.

Pak Chin juga bagitau, dia habiskan RM300 duit sumbangan kawan-kawan itu buat kenduri jamu orang-orang kampung. Moga-moga semua yang bagi sumbangan hari itu akan dapat menumpang tempias pahala daripada sedekah dan kenduri Pak Chin ini, sekiranya ada.

Cumanya, yang masih ralatnya, sampai hari ini rumah Pak Chin masih belum ada bekalan air paip yang sempurna. Kat dapur rumah Pak Chin boleh nampak Tong-Tong Plastik yang Pak Chin dan isterinya guna pi minta “sedekah air minum” kat kawan-kawan yang ada bekalan air ke rumah mereka.

Untuk mandi manda dan basuh pinggan mangkuk / kain baju, keluarga Pak Chin ada telaga yg dalam tapi cetek airnya kat tepi rumah tu, tapi untuk air minum Pak Chin terpaksa "mengemis"  kat rumah kawan-kawan.

(Isteri Pak Chin sedang membasuh cawan menggunakan air telaga untuk hidangkan air dan kuih raya untuk kami)

(Bergambar kenangan bersama Pak Chin dan Isteri di petang Aidilfitri)

Sebetulnya Pak Chin ini selain bermasalah dengan sebelah mata yang kelam, dan juga cacat semula jadi kerana sebelah tangannya yang terketar-ketar kalau nak buat kerja – kalau orang menoreh getah 100 pokok, Pak Chin baru boleh toreh 50 pokok, kalau orang dapat hasil 10kg getah sekerap, Pak Chin cuma dapat 5 kg – Pak Chin juga, berdasarkan pemerhatian saya setelah 5 enam kali pi melawat beliau, adalah seorang yang LURUS (atau dalam bahasa Kedah disebut sebagai BETOI BENDOI). Kalau dia rasa nak kata apa atau pun nak habag apa-apa, dia habag aja tanpa mengambil kira apa orang lain rasa.

Misalnya, waktu 1st time saya pi melawat rumah beliau, tanpa segan-segan dia cerita kisah beliau anak beranak dua hari tak ada benda nak makan, kisah anak-anaknya tak pi sekolah sebab lapar tak makan, kisah beliau pi pinjam RM10 kat kawan-kawan beli beras 2 kilo (RM1.90/kilo) dll.

Macam tu juga bila saya bawa sorang kawan pi rumah dia suatu malam itu. Bila kawan saya ini nak bagi sumbangan cash (saya rasa dlm RM50 ke RM100 mcm tu), Pak Chin kata: “Boleh tak kalau masuk bank, jangan bagi cash?” – termangu kawan tu, dah orang nak bagi ambik saja lah, ini suruh masuk bank pulak,kalau tak bagi langsung macam mana.

Kemudian baru Pak Chin habag kat saya, dia tak berani pegang cash sebab rumah dia – pintu rumahnya – kalau kita tekan dengan jari penunjuk ja pun boleh pecah – nak habag kata dia risau takut orang mai samun dia tengah-tengah malam sebab duit RM50-RM100 tu.

Itulah dia Pak Chin – betoi bendoi sungguh orangnya.

Sebab itu, bila kami nak balik petang raya tu, bila nampak beliau macam serba salah macam ada benda besaq nak habag kat kami, bila dia kata:

“Ish, saya ada benda nak habag ini – tak tau nak habag macam mana dah – dok simpan lama dah, rasanya hari ini nak kena habag jugak la”

Saya risau kot-kot ada apa-apa benda yg tak kena yang kami dah buat kat dia.

Pak Chin kata:

“Saya ini serba salah sungguh, tak tau nak habag kat siapa”

Pasal apa Pak Chin:

“Ini, kawan-kawan la, bila saya keluar pekan, nanti ada yang talipon – minta saya beli NOMBOT (No Ekor)”

Saya kata:

“Laa – Pak Chin tak boleh buat macam tu Pak Chin, dosa tu, nanti bala dia bukan takat turun kat kawan tu saja, tapi kat Pak Chin pun kena sekali....bla bla bla..mcm ustaz pula saya ceramah walhalnya saya ni pun bukan baik sangat, waktu belajar kat US dulu bukan tak biasa pi Las Vegas nu.

Pak Chin kata:

“Itulah – saya tau; tapi masalahnya kawan. Serba salah sungguh, tak tolong tak kena, tolong pun tak kena”

Tak kena macam mana pulak?

“Kawan: kita ini, air minum pun pi minta rumah dia – tu yang serba salah tu?”

Tu dia aih – macam drama Astro lah pulak – miskin dan betoi bendoi sungguh Pak Chin ini sampai kena BULI suruh beli no ekor kalau nak ambil AIR PAIP untuk dibuat MINUM – macam ini pun ada!!

So, kepada siapa-siapa yang ada talian hayat kepada pihak-pihak yang punya otoriti untuk pasang air paip ke rumah Pak Chin ini, minta tolonglah depa mai pasang sat air paip itu (ada line paip air kat depan rumah pak chin tu, cuma rumah dia saja air tak masuk); harap-harap lepas ini Pak Chin tak kena BULI kena BELI no EKOQ lagi.

Maka, betoilah kata-kata orang alim, hampir-hampir kefakiran itu menjurus ia kepada kekufuran.

Sedar tak sedar usaha kita membantu orang-orang miskin ini bukan sekadar dapat membantu mereka dari segi material tetapi juga insyaallah mampu menyelamatkan mereka daripada terjerumus ke lembah maksiat dan dosa.

Sekian, sedikit catatan di Aidilfitri. Moga ada iktibar buat semua.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Bathin.

moniermatdin@yahoo.com
21.8.12
http://www.moniermatdin.blogspot.com

1 comment:

Unknown said...

baik sungguh hati Pak Chin...teringat kisah sahabat Rasulullah s.a.w dengan kepala kambing, ingat kat jiran susah punya pasai.