Sunday, July 14, 2013

WARGAKILANG: Jln-Jln Masuk Kg Ramadhan (Tganu)


Alhamdulillah, seperti yang dirancang, untuk tahun ini sekali lagi team NGO Wargakilang berjaya mengadakan program Jln-Jln Masuk Kg (JJMK) Bulan Ramadhan di negeri Terengganu. Kali ini, kami dibawa masuk jauh ke pedalaman Tganu, kawasan DARAT yang agak jauh dari kawasan pantai yang biasanya amat sinonim dengan negeri pantai timur ini.


 (Konvoi 14 buah kenderaan membawa brg2 sumbangan menuju ke Binjai, Pasir Gajah, Pasir Minal dan Seberang Tayor)


 (Terima kasih kpd sahabat-sahabat Wargakilang yg turun mai dari KL, Kelantan dan juga yg mai jauh dari Utara)

 Kesemua sekali ada 25 keluarga yang kami kunjungi; antaranya ialah sebuah keluarga yang kehilangan ayahanda tersayang tak sampai pun sebulan menjelang Ramadhan; iaitu keluarga Pn Nor Akma di Kg Pasir Gajah.


(Pn Nor Akma bersama 5 orang anak-anaknya – di tangga rumahnya ini juga kami jadikan pusat agihan untuk 5 keluarga yang lain)

Untuk anak-anak Pn Nor Akma, walau pun masih sedih dengan pemergian ayahanda tercinta tetapi kunjungan konvoi kami ini begitu menceriakan mereka. Apatah lagi, bila ada ada seorang sahabat dari Utara bawa mai sekotak TOYS untuk budak-budak ini dan juga anak-anak penerima yang lain.

(Seronok budak-budak ini dapat Toys yang masih elok lagi tu). 


(Si kecik ini pula memeluk erat Teddy Bear yang dia dapat, macam tak mau lepas)

 Kami di Wargakilang merasa amat teruja dengan kegembiraan dan keceriaan yang terpancar di wajah anak-anak kecil ini; kami merasa gembira dapat melihat kegirangan di hati mereka, yang untuk seketika dapat melupakan realiti hidup keluarga yg bergelumang dengan kemiskinan dan hidup dalam serba keterpayahan.


(Terima kasih kepada seorang sahabat di atas sumbangan TOYS ini yang dibeli isterinya sewaktu outstation ke Amerika khas untuk anak-anak mereka. Siapa sangka asalnya dari Amerika, di bawa pulang ke Penang, hari ini berakhir di Pasir Gajah, di pedalaman Tganu)

Di tangga rumah ini juga hati kecil saya tersentuh tatkala seorang penerima, Pn Maimun 58 tahun menitiskan air mata, yang tanpa segan silu menangis mengesat air mata dengan hujung tudungnya tatkala tiba giliran menerima sumbangan.

Pn Maimun tinggal bersama anaknya yang OKU, adik Radhi 14 tahun dan mengharapkan bantuan JKM untuk anaknya sebagai punca pendapatannya yang semata-mata. Mungkin sepanjang hidupnya tak pernah menerima sumbangan yang sebegini banyak, atau pun mungkin beliau terharu sangat-sangat kerana ada di luar sana masih ada mereka-mereka yang mengambil berat. Wallah hu aklam.

 
(Adik Radhi memeluk dan memujuk ibunya: “JANGAN LER NANGIS MAK!!”)

 Saya difahamkan Pn Maimun matanya tak berapa nampak, datang ke rumah Pn Nor Akma ini pun dipimpin oleh anaknya. Bila saya tengok Radhi, terus saya teringatkan anak saya si Iman yg turut serta, yang juga OKU - kerana masalah Slow Learner.


(Saya perkenalkan Iman kepada Radhi dan ibunya, saya kata tak apalah makcik, anak saya ini pun OKU juga)

Sebetulnya saya sendiri naik sebak sewaktu memperkenalkan Iman kepada Radhi dan ibunya ini; kadang-kadang terlintas di hati apalah dosa aku Tuhan buat kat aku macam ini.

Si Iman itu dah la slow learner dan tak berapa nak boleh pakai seluar sambil berdiri, dan kalau tandas kena guna tandas duduk dan yang ada getah paip air, kerana masalah imbangan badan. Waktu kat RR Temerloh selepas berbuka puasa, bila masuk ke Tandas Sementara sebab tandas baru dalam pembinaan, sedih sungguh bila Iman masuk tandas itu dia keluar balik, dia kata “Tak apalah Abah, Iman tahan berak!!” – Tandas Sementara itu tidak dicipta untuk anak-anak OKU macam Iman. Kesian kat Iman – sebab itu saya rasa sebak bila tengok Puan Maimun dan anaknya Radhi ini. Hanya mereka yang punya anak-anak OKU ini saja mengerti perasaan kami.

Yang tersentuhnya lagi, bila isteri saya tanya Radhi, duit sumbangan yang orang bagi itu nak buat apa? Radhi cakap: “NAK AJAK MAK BELI BAJU RAYA”.

Alhamdulillah, tak sangka sumbangan kawan-kawan kami yang turut serta itu asalnya cumalah sebagai sedikit habuan duit raya, tapi amat besar maknanya untuk Radhi dan ibunya ini. Tak sia-sia kami mai jauh dari utara 10 jam perjalanan ini.

Seterusnya, berbicara tentang isu kemiskinan. JJMK kali ini menemukan kami dengan sebuah cerita kemiskinan yang paling kronik pernah kami temui, iaitu kisah kemiskinan keluarga Pn Pisah, seorang ibu tunggal di Kijal.


 (Sebahagian drpd warna kemiskinan yang bermaharajalela di dalam rumah ini)

Sdra Azman, wakil Wargakilang di Terengganu memaklumkan kpd kami bahawa Puan Pisah ini adalah ibu tunggal anak 6. Yang sulung belajar setakat darjah 6, tapi kini sudah dewasa dan berkahwin, kerja sekadarnya utk diri sendiri sahaja.
 Yang tinggal bersama beliau ada lagi 5 orang.


Kerana kemiskinan yang mencengkam, drpd LIMA orang dalam gambar ini, cuma yang kecil sahaja yang masih bersekolah; yang lagi EMPAT orang lagi sudah pun terkandas sebelum sempat melangkah ke sekolah menengah. Malang sungguh anak-anak bangsaku – tersungkur begitu saja di gerbang kemiskinan!

Bila melihat keluarga ini, dan teringatkan Kijal, saya teringat kisah saya dan isteri mai ke Kijal beberapa tahun yang terdahulu – sebelum ada BLOG INTERNET – kami ada berkunjung ke rumah satu keluarga miskin yang kedananya hampir serupa – kami mai untuk bayar zakat pendapatan.

Saya tanya jiran Puan Pisah , di manakah rumah Pak Usop yang amik upah potong buluh lemang di Kijal yang hidup dlm kemiskinan yang pernah kami suami isteri kunjungi dulu? Kisah kemiskinan Pak Usop ini, ada saya garapkan dalam internet pada tahun 2004, dan sampai hari ini masih tinggal melekat di google at:
http://www.geocities.ws/monier_matdin/buluhlemang.htm
iaitu kisah 3 orang anak lelaki Pak Usop yang kerana kemiskinan, terkandas dalam pelajaran.

Kata jiran tersebut: “Pak Usop sudah arwah, Kak Pisah ini isteri dia lah!”

 Laaa – saya tak perasan sungguh. Hampir 10 tahun dulu saya pernah tulis cerita Pak Usop ini; saya dimaklumkan selepas itu ada pihak-pihak yang datang melawat; rupa-rupanya semuanya hanya seperti melepaskan batuk di tangga saja.

Hari ini, anak-anak arwah Pak Usop terus menerus dibelenggu kemiskinan – sama saja sewaktu kunjungi kami 10 tahun yang silam. Entahlah, tak tahu siapa yang patut memainkan peranan.

 Akhir sekali, yang paling melekat di pintu hati saya berkenaan JJMK kami kali ini ialah sewaktu kami berkunjung ke rumah seorang nenek yang tinggal bersama TIGA orang cucu yang YATIM PIATU; Mohamad Azalizam (14), Nurzafikah (13) dan Mohamad Azam (12).

Waktu itu saya interview adik Azalizam minta cerita sikit kisah keluarganya, dia dah macam naik sebak dah cerita kisah ayah dan ibunya meninggal diserang sakit paru-paru ini. Ibunya baru dua tahun meninggal, ayahnya sudah lama sebelum itu.

Ketika hampir semua peserta dah nak masuk ke kereta masing-masing, saya lihat Aznee (Engineer INTEL) masih tak keluar-keluar rumah lagi. Bila saya pi cari dia, saya tersentak bila melihat adik Azalizam sedang menangis tersebak-sebak sambil mengesatkan matanya dengan jari.

(Sebak seorang anak yatim piatu – peritnya menanggung rindu pada ibu dan ayah, tiada siapa yang tahu)


(Rupa-rupanya, sdra Aznee sedang memberi ceramah motivasi kepada Azalizam dan adiknya, dan nasihat panjang lebar kisah bagaimana beliau yang dulunya juga anak YATIM tapi mampu belajar cemerlang sampai Manchester, UK dan balik Malaysia jadi Jurutera.)

Aznee cakap jangan give up, beliau pun dulu anak yatim tapi boleh berjaya, insyaallah Azalizam pun boleh berjaya. Sebelum balik Aznee bagi bisness card dia habag kata kalau tak dak duit nak beli buku latihan ka apa, tolong contact dia. Mulianya hati hang Aznee, moga Allah SWT sentiasa merahmati hang sekeluarga.

Dan yang paling saya tidak lupanya, bila saya hulurkan sedikit duit raya, secara otomatik Azlizam cakap: “Terima kasih Pak!!” Saya terkesima – dia panggil saya PAK; sampai hari ini masih terngiang-ngiang di telinga.

Terasa benar program Jln-Jln Masuk Kg kami di bulan Ramadhan kali ini nampak sungguh lain dari yang lain; Tuhan tunjukkan kat kami wajah anak-anak kecil yang girang menerima sumbangan, wajah Ibu-Ibu tunggal yang tersenyum hingga ke telinga menerima brg2 keperluan, wajah anak-anak OKU yg kurang diberi perhatian, wajah-wajah anak-anak kecil yang masih terperangkap dlm orbit kemiskinan dan juga tangisan sebak seorang anak yatim piatu yang sudah lama terpendam.

Mungkin kerana itulah kot Tuhan jadikan bulan Ramadhan – bulan yang dijanjikan beribu ganjaran kepada mereka yang melakukan perkara kebajikan – agar dengannya golongan yang dinyatakan di atas ini akan mendapat perhatian dan pembelaan. Wallah hu aklam.

Bagi kami pula, semuanya ini tinggaal menjadi sebuah Tazkirah Ramadhan yang teramat istimewa buat kami.

Terima Kasih semua.

Salam Ramadhan. 

moniermatdin@yahoo.com
14.7.13
 http://www.moniermatdin.blogspot.com
 http://www.facebook.com/wargakilang

1 comment:

Emma Manson said...

Saya tak dapat tahan air mata... Sedih dengan kekurangan orang lain. How i wish i can join your team to really teach myself what is poverty and hard life.