Sunday, January 23, 2011

NGO Wargakilang: Selangkah ke Alam Pondok

Baru-baru ini, sewaktu berbincang dengan rakan-rakan untuk aktiviti amal NGO wargakilang kami seterusnya, seorang rakan mencadangkan kami pi visit sekolah pondok, pi tengok apa yang boleh kami bantu.

Saya tanya kenapa pilih sekolah pondok? Apa istimewanya sekolah pondok sampai nak kena pi bagi bantuan? Ya lah, bagi saya yang dibesarkan di daerah Baling yang banyak terdapat sekolah-sekolah jenis pondok ini, bila sebut kata “sekolah pondok” itu tidak ada apa yg istimewanya buat saya, sejak dari kecil lagi, tiap kali lalu kat kawasan sekolah pondok itu mcm lalu kat kawasan sekolah menengah dan kebangsaan saja, tidak apa-apa yang specialnya sekolah pondok ini.

Pernah suatu ketika waktu saya lalu kat depan sebuah sekolah pondok di Kg Pisang Kupang Baling Kedah, terlintas di padang pemikiran saya: awat la mak pak depa pi hantaq anak-anak pi mengaji sekolah pondok ini, besaq esok apa la depa nak jadi? Tak tau lah sapa yang dok brainwash saya, tapi sejak kecik lagi mcm ada org habag kat saya kata ngaji pondok ni tak boleh pi mana, tak boleh jadi engineer, tak boleh jadi doctor, tak boleh jadi arkitek tak boleh jadi apa.

Itulah antara persepsi awal mengenai dunia “sekolah pondok” yang ada dalam benak saya yg menyebakan saya jadi agak skeptical bila kawan-kawan di NGO Wargakilang ajak saya pi turun buat kerja amal bantu sekolah pondok ini.

Lalu, antara berat hati; di malam weekend yang lalu saya ikut juga 2 orang rakan NGO Wargakilang dari Pulau Pinang ke sebuah sekolah pondok di pedalaman Sik, yang diberi nama Sekolah Pondok Bandar Hilir, Teloi Tua, Sik Kedah nak pi riki tengok apa yang kami boleh buat untuk bantu depa nie.

Sampai sana lebih kurang jam 11 malam, kami terus ke rumah Pengetua di situ yang diperkenalkan oleh sahabat-sahabat saya itu sebagai Ustaz Ismail Mahmud. Depa kata: “Munir, kalau hang nak tanya apa pasal sekolah pondok ini, hang tanyalah Ustaz ini, insyaallah dia boleh habag kat hang dari A sampai Z”.

Saya tak pasti apa yang saya tanya atau pun yang saya sembang dengan Ustaz Ismail ini, tapi bila jam dekat pukul 2 pagi, baru saya perasan bahawa saya dah dekat 3 jam dok berdialog dan berlawan hujah dengan dia pasal sekolah pondok dan sejarah serta persepsi negetif sesetengah kalangan masyarakat mengenai institusi pengajian agama tradisional ini.

Diringkaskan cerita, malam itu buat pertama kalinya - selepas dah beruban pun rambut saya ini - barulah saya tau cerita sebenar mengenai institusi sekolah pondok ini dan sebab musabab mengapa orang-orang seperti Ustaz Ismail Mahmud dan mereka yang seangkatan begitu komited sekali berjuang untuk mempastikan sistem pengajian islam tradisional dalam bentuk sekolah pondok ini terus hidup dan berkembang subur hingga ke hari ini.

Saya tak mau tulis panjang apa yang kami berlawan hujjah malam itu, tetapi cukuplah kalau saya katakan orang-orang seperti Ustaz Ismail, Pengetua Sekolah Pondok Bandar Hilir Teloi Tua yang bergaji RM500 sebulan dengan anak murid seramai 200 orang lebih ini memang patut diberi bantuan, dorongan dan sokongan.

Tak tau lah macam mana depa survive, guru-guru kat situ cuma bergaji RM400 sebulan, kurang RM180 daripada Maid Indonesia di rumah saya, dan pastinya juga jauh lebih kurang daripada gaji+OT Bangla di kilang-kilang Industri. Nak buat macam mana, budak-budak yang ngaji kat situ rata-ratanya adalah anak-anak orang susah, anak-anak yatim dan juga mereka-mereka yang tidak berkemampuan, yuran bulanan cuma sekedar RM20 sebulan, itu pun kalau mampu bayar, kalau tak mampu, tak apa lah.



Bila saya tanya Ustaz Ismail, apa benda yang motivate dia, yang bagi dia kekuatan untuk menghidupkan juga Sekolah Pondok Bandar Hilir dengan segala kekurangan dan kepayahan yang ada ini; dia termenung seketika. Lama selepas itu, dalam nada yang penuh ikhlas, saya dengar dia kata:

“ISLAM”

Apa maksud Ustaz?

“Yang Ana nampak ISLAM saja. ISLAM perlu dibela; Islam perlu dibela dari sudut pendidikan. Walaupun sudutnya nampak kecik saja, tapi dari sudut yang kecik ini, dalam kubu kita yang kecik ini, kita wajib berjuang mempertahankan kubu kita, walaupun nampak kecik tapi impaknya besar”

Tambah Ustaz lagi:

“Lagipun sekolah pondok ini adalah benteng terakhir Akidah Ummat Islam di Malaysia ini. Kalau Munir nak tahu, sekolah pondok ini akar umbi dia adalah berasal dari Masjid Nabawi, Madinah. Waktu itu, ada sekumpulan sahabat-sahabat yang dikenali sebagai Ahli Suffah, depa ni dok terima pelajaran, dok ngaji tiap-tiap hari, direct kat Rasulullah SAW di Masjid Nabawi itu. Kebanyakan depa-depa ini macam juga budak-budak kat pondok ini, orang-orang miskin dan org-org susah, tapi depalah yang akhirnya jadi penghafal hadith macam Abu Hurairah RA itu. Maknanya, system sekolah pondok ini adalah kesinambungan daripada system pengajian Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri di Masjid Nabawi itu; atau dengan kata lain Sekolah-Sekolah Pondok yang dok ada la nie ini adalah merupakan ranting-ranting daripada institusi pendidikan Islam asal yang diwarisi daripada Ulamak-Ulamak silam. “

Bila saya tanya apa matlamat sekolah pondok ini, apa yang dia nak tengok budak-budak itu jadi bila besar nanti (soalan standard yang cikgu tanya kita masa darjah satu dulu; besaq esok hang nak jadi apa?). Ustaz Ismail cakap, matlamat dia ialah ISLAM, dia cuma nak anak-anak murid dia jadi seorang ISLAM yang benar-benar Islam, yang mempunyai asas yang kukuh sebagai seorang Islam. Ustaz kata kalau tak dak asas yang kukuh, kalau dia jadi Engineer dia akan jadi Engineer yang rasuah, kalau jadi pekerja, akan jadi pekerja yang menipu dan sebagainya.

Kata Ustaz, hari ini kita gagal melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia kerana faktor kegagalan system pendidikan kita. Sistem pendidikan yang kita warisi ini tidak lagi berpaksikan kepada system pendidikan yang digariskan oleh Ulamak-Ulamak silam seperti Imam Ghazali dan juga Al-Imam Syafie.

Falsafah pendidikan pula hanyalah setakat kata-kata, yang sekadar menjadi hiasan dan mati terpahat di dinding-dinding sekolah, tidak mampu diserap ke dalam jiwa anak-anak sepenuhnya.

(Saya terus teringat kepada dua tiga buah sekolah anak-anak saya yang penuh dengan berbagai misi dan visi serta kata-kata falsafah tercatat megah di bangunan sekolah; dan benar kata Ustaz, kata-kata itu hanya tinggal sebagai kata-kata yang terpahat di dinding-dinding sekolah, nanti dalam mesyuarat agong PIBG saya dok ingat nak timbulkan perkara ini, insyaallah).

Sebabnya adalah kerana sistem pendidikan kita hari ini diwariskan daripada penjajah yang mengajar kepada kita konsep “Bila dah habis belajar nanti nak kerja apa?”. Sedangkan konsep menuntut Ilmu dalam Islam ialah untuk mengenal Allah, mendapat redha Allah, mengeluarkan diri daripada kejahilan dan mengajar semula ilmu tersebut kepada insan lain sama ada dibayar gaji atau pun tidak.

Sebab itu kata Ustaz, graduan-graduan yang dilahirkan oleh sistem kita hari ini akhirnya menjadi insan-insan terpelajar yang hanya mementingkan dunia dan kosong dengan sifat-sifat kemanusiaan berakhlak mulia seperti yang dituntut oleh agama.

Di pondok Bandar Hilir ini pelajar-pelajarnya diberi penekanan dari segi rohani sepanjang waktu, daripada bangun pagi hinggalah masuk tidur di waktu malam. Mereka digalakkan beristighfar dan berselawat. Tiap-tiap pagi jam 5:30 sebelum Subuh semua mesti berada di Surau, beristighfar paling kurang 70 kali sehari. Solat Dhuha tak boleh tinggal, solat fardu wajib berjemaah di Surau setiap waktu.

Di sini mereka diberikan asas Akidah yang kukuh melalui kuliah-kuliah yang berteraskan kepada kitab-kitab tradisi yang diwarisi daripada ulamak zaman berzaman.

Bila saya tanya pasal gaji yang tak seberapa itu pula, macam mana Ustaz dan guru-gurunya boleh istiqamah; Ustaz jawab:

“ISLAM ini kerja kita – tiap kali kita solat kita dok sebut Innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillah hi taala – sesungguhnya solatku ibadahku hidup dan matiku hanya untuk Allah SWT – kita kena ingat Orang Yang Berjuang ini Balasannya Tidak Ada Lain Melainkan SYURGA!!”

Waktu kami pi tu kami nampak ada sorang guru tengah dok suluh torchlite sini sana. Ustaz kata semua guru-guru di pondok ini telah ditanam dengan sifat KHUWAIDIN, iaitu pada hari mereka bersetuju menjadi GURU maka secara otomatik pada hari itu juga mereka bersetuju menjadi KHADAM/HAMBA/KHUWAIDIN kepada sekolah. Kalau tak ada sifat KHUWAIDIN itu kata Ustaz, seorang guru itu tak akan sanggup mengorbankan masa tidur dia nak mai bawa torchlite pi cek tengok pelajar-pelajar tidur ok ka tak ok tengah-tengah malam buta itu.

(Saya dok rasa kalau sifat KHUWAIDIN ini boleh diserapkan ke dalam jiwa seluruh guru-guru di Malaysia ini, insyaallah anak-anak kita pakat score 10A, tak payah kita semua dok kelam kabut balik kerja nak pi hantar anak-anak pi tusyen sini-sana).

Meringkaskan cerita, di penghujung lawatan saya malam itu, dapat saya simpulkan bahawa nun jauh di pedalaman Sik sana, di sebuah pondok bernama Bandar Hilir Teloi Tua ada seorang manusia bernama Ustaz Ismail Mahmud dan guru-gurunya sedang berada dalam kepayahan, menjadi khadam kepada sebuah perjuangan yang diwariskan daripada Ulamak silam, demi mempastikan institusi pendidikan Islam yang ber-akar umbi dari Masjid Nabawi di zaman Rasulullah SAW ini akan terus kekal hidup hingga ke akhir zaman.

Mereka perlukan bantuan: antara yang paling utama ialah dalam bentuk kitab-kitab pengajian yang agak sukar diperolehi kerana faktor permintaan dan juga harga yang agak tinggi. Antara kitab-kitab utama yg diperlukan ialah Tafsir Nurul Ihsan, al-Bajuri Ibn Qassim, Bulugh Mughram, Matla'in Badrin, Misbahul Munir, Muniyatul Musolli, Furuq Masa, Hidayatul Salikin dan Al-Jawahirul Mahub.




Selain itu, sekolah mereka yang dibina hasil sumbangan orang ramai masih belum siap sempurna sepenuhnya, perlukan bantuan dalam bentuk Cat Bangunan dan beberapa perkara yang lain.
Ustaz Ismail Mahmud di hadapan bangunan sekolah yang masih belum bercat.

Untuk itu, insyaallah pada 19 hb Feb 2011 ini, team NGO Wargakilang akan ke sana, bercadang mengadakan program sehari bersama sekolah Pondok; antara isi agendanya ialah sessi Motivasi untuk para pelajar yang akan disampaikan oleh saya dan rakan-rakan insyaallah, aktiviti cat bangunan, gotong royong membersihkan rumah org-org tua, dan akan diakhiri dengan majlis sumbangan kitab-kitab daripada kawan-kawan sekelian kepada pihak sekolah. Sesiapa yang berminat nak turut serta, sila hubungi aktivist Wargakilang, saudara Shukri untuk koordinasi at ees_herbs@yahoo.com.

Moga kerja buat kita yang tak seberapa ini akan dikira sebagai satu pahala yang berkekalan olehNya di akhirat kelak. Mudah-mudahan.

moniermatdin@yahoo.com
23 Jan 2011
http://www.moniermatdin.blogspot.com
Visit us at facebook/wargakilang

2 comments:

ComeyBelako said...

salam, i have linked this in my blog. thanks.

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Salam.

Saudara, mohon izin copy Kisah dalam blog saudara untuk tatapan umum di sini ,
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=18408.msg268119#msg268119

Semoga dengan usaha perkongsian memanjangkan ilmu akan mendapat rahmat dan pandangan Allah.