Sunday, February 12, 2012

JJMK Wargakilang: Tak Perlu Jadi YB

Baru-baru ini saya berkesempatan berkunjung ke rumah seorang sahabat lama, dulunya kerja kilang macam saya juga, tetapi rentetan takdir menyaksikan beliau nekad berhenti kerja dan balik menetap di kampungnya di pedalaman Kedah sana nu, buat kerja sendiri & meniaga sendiri sepenuh masa.

Ketika singgah sebentar di rumahnya, agak kagum juga saya dengan perkembangan sahabat saya ini, bisnessnya makin berkembang, kereta 4WD jenama terbaru, rumah besar dikelilingi pokok2 buah seperti dalam dusun buah-buahan.

Sembang pi sembang mai termasuk bab politik; sahabat saya ni kata ketiga-tiga parti utama bangsa Melayu yang dok ada sekarang ini semuanya sama, 3x5 dan 5x3 belaka. Dia kata, mai PRU13 ini, dia nekad nak masuk calon, nak bertanding atas nama parti Cap Ubi Kayu (parti bebas) nak jadi WAKIL RAKYAT, nak jadi YB!

Sembang pi sembang mai, sahabat saya ini nak jadi YB sebab dia tak puas hati dengan YB-YB yang pernah memerintah kawasan tempat dia tinggal itu; dia rasa kalau dia jadi YB, dia mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik kpd rakyat khususnya org-org kampung sekitarnya.

Entahlah, walau pun saya rasa sahabat saya ini ada pengaruh di kawasan itu, boleh jadi pemecah undi antara dua tiga parti utama yang bertanding nanti, tapi rasanya kalau setakat nak berkhidmat kepada rakyat, nak bantu rakyat, ikhlas nak tolong rakyat, nak bantu org-org kampung, tak payah jadi YB pun tat pa kot.

Minggu lepas, di hari maulud, mengambil sempena SUNNAH Nabi SAW yang gemar memberi makan dan membantu org2 miskin/susah, saya bawa balik ke kg kelahiran saya di Baling, Kedah beberapa orang sahabat dari NGO Wargakilang buat kenduri sempena Maulud & jamu org2 kampung makan, bagi sumbangan berkilo-kilo beras yg dikirim oleh kawan-kawan dan juga bawa balik 2 buah 4WD kain baju terpakai yang dikutip oleh kawan2 dari Perlis hinggalah ke KL.




Seorang sahabat bagitau, waktu org-org kampung dok prepare daging dan umbut batang pisang nak buat GULAI BATANG PISANG, dia ada dengar dua org pakcik tua bersembang sesama mereka; sorang tu cakap kalau ada orang selalu buat macam ini baguslah jugak (buat kenduri, bagi beras, kain baju dll), dia kata YB-YB pun tak pernah buat macam ini.


(Kaum perempuan sedang menyediakan bahan-bahan masakan)

Terus saya teringat kat kawan baik yang nak bertanding calun BEBAS tu; rasa macam nak pi habag kat dia, ada banyak cara nak bantu rakyat, tak perlu jadi YB pun tak pa.

Bukannya apa, bila saya tengok meriahnya suasana kenduri maulud ini, bila saya lihat gembiranya mereka berebut memilih kain baju terpakai untuk kaum keluarga mereka ini, dan bila melihat wajah-wajah girang penerima sumbangan beras dua kampit itu, saya rasa terharu – rasa bersyukur sangat sebab Tuhan memilih saya untuk berada dgn kwn2 dlm aktiviti amal di hari Maulud yang mulia ini – dan terasalah juga bahawa kalau kita ikhlas nak bantu org kampong atau pun berkhidmat untuk masyarakat, tak payah jadi YB pun tak pa.

(Abang Man dok cari Jeans tak dapat-dapat...last2 dapat Kemeja..ok gak tu).

(Yang ini trip yg keberapa entah Abang Man mai pilih baju, dah angkut balik banyak helai dah untuk anak-anak dia kat rumah... )


Kakak ini siap bawak anak dia sekali mai pilih kain baju ini...

Dalam ramai-ramai itu pula, ada 20 orang penerima dari kategori Ibu tunggal, warga emas dan mereka yg agak susah/miskin mengikut piawaian org2 kg di situ menerima sumbangan 15 kg beras setiap seorang.




Saudara Aznee, selaku Setiausaha (Penaja) NGO Wargakilang (Muslim) Malaysia sedang menyampaikan sumbangan 15kg beras kpd Tok Esah, seorang warga emas. Boleh nampak Tok Esah tersenyum lebar hingga ke telinga...


Mak Lang bersama 15kg beras, sebungkus brg2 minuman dan satu plastik kain baju terpakai...seronok sungguh Mak Lang...lain kali kalau ada lagi, bakmai la lagi..

Dua hari selepas kenduri Maulud ini pula, ada seorang sahabat call saya, dia minta tolong jadi posmen, dia kata ada anak Dato’ dari KL sana nu kirim Kerusi Roda berkualiti tinggi beserta Air-Circulated Matress (Tilam Khas) untuk org2 OKU, minta tolong sampaikan kpd mereka-mereka yg memerlukan.

Kebetulan, melalui aktiviti amal sebelum ini, kami ada dipertemukan dengan insan-insan yg sedemikian, Alhamdulillah sumbangan itu dapat disalurkan seperti yg dipinta.

Si Harun, OKU tak mampu berjalan, hanya mengengsot bersama kerusi Roda sumbangan insan yg berhati mulia itu. Opss, nak kena habag jugak, Harun bersama dgn baju baru yg kwn2 bagi tu dan juga kopiah putih sumbangan seorang sahabat.

(Adik Joe, 13 tahun yg terbantut tumbesarannya, tak mampu bergerak atau berkata2, sekadar memanggil nama "mak..mak" bila lapar atau dlm kepayahan...moga selesa bersama tilam berudara khas untuk mengelakkan bed sore atau pun kulit belakang melepuh kerana terlalu lama di atas lantas/tilam biasa. Moga tilam khas ini mampu memberi keselesaan kpd adik Joe. Terima kasihlah kpd anak Dato' mana yang kirim mai Tilam ini)

Last sekali, nak kena habag, bila saya lihat gambar2 yg dipaparkan ini, saya jadi terkedu sendiri, rasa nak habag kat semua orang – w/pun bunyi riak – tapi perlu habag jugak:

“KALAU IKHLAS SUNGGUH NAK TOLONG ORG KAMPUNG, NAK BANTU RAKYAT – TAK JADI YB PUN TAT PA KOT NOH!!”

Melalui NGO pun kita boleh merasa jadi YB sebenarnya…

*YB=Yang Berkhidmat bukannya Yang Berhormat (memetik kata-kata mantan YDP NGO Wargakilang).

Sekian secebis nota untuk iktibar bersama.



moniermatdin@yahoo.com


12.2.12


http://www.moniermatdin.blogspot.com/

Wednesday, January 25, 2012

Jln-Jln Masuk Kg: Tuhan Itu Ada

Alhamdulillah, expedisi amal JJMK (Jln-Jln Masuk Kg) NGO Wargakilang di Pantai Timur selamat berjalan lancar pada hari sebelum cuti Raya Cina 22 Jan 2012. Kesemua sekali ada 25 keluarga yg kami kunjungi.

Terima kasih diucapkan kepada mereka ini yang rata-ratanya tidak kami kenali, yg turut serta setelah membaca artikel mengenai kemiskinan di Kemaman yg tersiar di berbagai website, mailing list, blog dan juga facebook. Terima kasih diucapkan kpd para admin/webmaster yg berkenaan, insyaallah tempias pahala daripada kerja amal ini sampai jua kepada kalian semua.

Terima kasih juga kpd kawan-kawan dari Utara dan juga KL yg turun membawa brg2 sumbangan masing-masing, dan jutaan terima kasih kpd rakan-rakan dari Pantai Timur khususnya bekas pelajar lama SMC (Sek Men Chukai) dan juga SIS (Sek Men Sultan Ismail) di atas kerjasama yg diberikan.


(STORM sarat dgn brg2 makanan sumbangan seorang individu dari Utara)


(TRITON mampat tayar dengan beras 10kg disusun rapat-rapat)


(Longgokan brg2 sumbangan org ramai yg hadir di Masjid Geliga, Chukai diagihkan kpd 25 bahagian)


(Antara rumah Nelayan yg kami singgah – 11 orang mendiami rumah sesempit ini)


Bro ini bersama isteri dan anak2nya tinggal di rumah atas air. Ikut katanya, beliau adalah NELAYAN TULEN, dibesar dan dilahirkan di sini, Nelayan sedari kecil. Tanpa tanah dan tanpa rumah sendiri, hanya menumpang rumah pelantar ini dengan ehsan Tauke Cina.

Apabila melihat sahabat ini, saya teringatkan Prof Ungku Aziz – waktu Pak Ungku datang buat survey mengenai kemiskinan di Kemaman tahun 1960an dulu, saya rasa brother ini tak ada lagi. Makna kata, beliau adalah generasi terkemudian kpd generasi yg pernah dibuat kajian oleh Pak Ungku dulu; sama sahaja seperti hasil kajian Pak Ungku itu, sehingga ke hari ini makan minum mereka sehari2 terus bergantung kpd laut. Kadang-kadang ada kadang-kadang tiada. Bila saya tanya apa jadi bila tiada, dia cakap terpaksalah pinjam kat SAING-SAING (bahasa Tganu: kwn2), bila ada hasil nanti bayar semula.

Begitulah kehidupan mereka, terus-terusan hidup dalam orbit kemiskinan yang terus berputar segar di bumi Kemaman yg bertuah ini. Teringat saya kpd kata-kata Nik Mardihah (pelajar terbaik SPM 2008) dlm radio IKIM malam tadi, satu-satu cara untuk keluar dari orbit ini ialah melalui PENDIDIKAN. Kami merasakan kata-kata adik Nik Mardihah itu ada benarnya juga; jika tidak dilemma kemiskinan ini akan terus menghantui generasi yg akan datang seperti dalam gambar di bawah ini.

Pakcik Tua ini sudah rabun matanya, tidak mampu lagi turun ke laut. Anaknya pula, kerana kemiskinan hanya mampu belajar setakat darjah-6, kalau bersekolah sepatutnya sekarang sudah di form 4 atau pun form 5. Tanpa pendidikan yg sempurna, anaknya ini akan terus hanyut berada di orbit kemiskinan yg sama untuk sekurang-kurangnya satu lagi generasi yg mendatang.


Ini pula adalah wajah keluarga Nelayan yang dalam tulisan saya sebelum ini (Kemiskinan di Kemaman) ada saya ceritakan kisah sahabat kami disergah bila datang buat survey, Abang dlm gambar inilah yang cakap kat dia kata kalau setakat nak datang survey tak payahlah, sebelum ini pun sudah berpuluh orang datang survey minta maklumat macam-macam tapi apa pun tak ada. Alhamdulillah, kami memang betul datang dan tidak memberikan harapan kosong buat mereka. Moga sedikit sumbangan barang-barang keperluan harian ini mampu membantu mereka menempuh saki baki hari yg ada sementara musim tengkujuh akan reda.

Ini pula lain kisahnya.

Kakak ini rumahnya betul2 mengadap laut, singgah sebentar di pelantar rumahnya ini bagaikan tak ingin nak pulang. Belaian angin laut memang tangkap syahdu habis. Kalau buat resort, harga untuk bermalam di lokasi yg sebegini mau mencecah RM250 semalam, tapi untuk keluarga ini, hidup mereka derita sekali.

Dengan suami yg tak mampu kerja kerana prolong illness (sakit lelah berpanjangan) dan anak2 yg bersekolah yg perlu disara, apalah sangat yg mampu dilakukan oleh kakak ini, yang pendapatan hariannya cuma mengambil upah membakar kuih bahulu – RM13 sehari. Itu pun kalau ada bahulu yg perlu dibakar, kalau stok masih banyak (bahulu kurang laku) maka tak adalah kerja dan tak ada upahlah untuk hari itu. Kalau putus bekalan terpaksalah pinjam dari kawan-kawan. Peritnya hidup mereka.

Sebetulnya, saya tak tau nak tulih apa dah mengenai expedisi amal kali ini, sebab jari jemari saya seolah-olah sudah jadi kaku; saya sungguh terkedu bila melihat suasana kemiskinan yg agak parah di sini. Bila ada sahabat sms/call, saya tak tau nak kata apa, saya jawab:

“Aku dah masuk merata kampung dah, merata negeri dah pi bantu org miskin ini, hari itu muka aku pun ada keluar BERSAMAmu bawa krew TV3 pi rumah org miskin kat Kedah, tapi di Kemaman ini kemiskinannya lain sikit, aku rasa miskin depa ni memang betul-betul melayakkan depa untuk dapat beras FIDYAH”

Seperti yg saya tulis sebelum ini, bagi kebanyakan keluarga ini, BERAS adalah bernilai EMAS buat mereka.

Apa tidaknya, ada sorang kakak itu (Ibu Tunggal) bila dapat sumbangan beberapa kampit beras 10kg yg kami bawa itu, terus dia cakap:

“ALHAMDULILLAH, HARI INI DAPAT LAH MAKAN NASI!!”



Bila kami longgokkan brg2 lain sampai bertimbun-timbun kat pelantar rumah dia, kakak ini tak habis-habis mengucapkan TIMA KASIH TIMA KASIH berulang-ulang kali; dia tak tau nak kata apa sampai merah mata dia bergenang dgn air mata, menangis tanda berterima kasih bersyukur tak terkira.


Tanpa ditanya, kakak ini terus mengadu kat kami, dia kata dia ada 5 orang anak-anak yg masih bersekolah yg perlu disara. Tiap-tiap pagi bila bangun tidur, dia kena fikir macam mana nak dapatkan RM15 untuk hari itu supaya anak-anaknya ada makanan untuk dimakan. Kadang2 dia amik upah siang ikan keropok (60 sen sekilo isi ikan), kdg2 ambik upah kemas rumah orang dan apa saja pekerjaan halal untuk dapat RM15 itu.

Dia juga cerita, tahun ini rasa lega sikit sebab anak bongsu dia dah mencecah usia 4 tahun, sudah boleh dihantar ke TADIKA – bukan dgn tujuan nak belajar sangat, tapi beberapa jam tatkala anaknya di TADIKA itu mampu memberi sedikit ruang untuk beliau keluar jauh sikit untuk mencari seringgit dua untuk makan minum anak-anaknya, kerana sebelum ini agak terhad disebabkan beliau terpaksa menjaga anak bongsunya ini. Begitulah peritnya beliau mencari rezeki.

Expedisi amal kami ini secara rasminya berakhir lebih kurang jam 2 petang.

Lebih kurang jam 4, sorang sahabat rasa tak puas hati dan ajak saya kembali ke rumah kakak ini; dia rasa tersentuh sangat dgn nasib keluarga ini dan bagi sumbangan tambahan.

Petang itu kami ke rumah ini lagi; waktu tu jiran-jiran sekeliling penuh mengerumuni rumah beliau, depa pun terkejut tak pernah tengok gamaknya org pi bagi sumbangan barangan makanan berlonggok banyak macam tu sekali – jadi macam kedai runcitlah pulak.
Bila saya habag kat kakak ini kata kami nak bagi sumbangan tambahan, dia lagi terkejut, dia kata tak payahlah tak payahlah – yang dok ada ini pun dah banyak sangat dah.

Terus saya tanya dia, saya kata dah banyak kali dah kami masuk bagi bantuan ke kampung-kampung tapi belum pernah terjadi ada orang minta saya pi bagi bantuan ke rumah yg sama untuk kali ke-2 pada hari yg sama, saya kata ini mesti ada benda yg kakak minta dan berdoa kat Tuhan, dan di atas berkat DOA dan SABAR kakak tu, hari ini Tuhan makbulkan.

Dengan nada merendah diri kakak ini cakap:

“Hmm,nok ghoyyat pun malu (nak cakap pun segan), memang betul pun, dalam seminggu ini, 3 empat hari kebelakangan ini boleh dikatakan tiap-tiap malam saya menangis mengadu nasib kat Tuhan”

Kerana itu barangkali beliau terus jadi tergamam, terkedu dan rasa sebak terharu; mungkin dia sendiri tak sangka di atas tangisan ikhlas beliau itu, hari ini entah dari mana-mana tanpa angin tanpa ribut tiba-tiba berbungkus-bungkus brg-brg makanan dan bertimbun-timbun beras “jatuh mai dari langit” berlonggok kat pelantar rumah dia tu.

Bila beliau dok ulang sebut terima kasih terima kasih yg tak terhingga itu, saya kata kat dia:

“Kak, ini menunjukkan satu benda ja – ini membuktikan bahawa TUHAN itu ADA!!”

Sekian, moga sedikit catatan kisah-kisah JJMK (Jln-Jln Masuk Kg) kami ini ada faedah dan mampu menjadi iktibar untuk kita semua.

Ada masa, jomlah join kami di expedisi JJMK yang akan datang.

moniermatdin@yahoo.com
http://www.moniermatdin.blogspot.com

Sunday, January 15, 2012

NGO Wargakilang: Kemiskinan di Kemaman

Berbicara mengenai isu Kemiskinan di Malaysia, daerah Baling di Kedah tempat kelahiran saya secara sinonimnya sering dikait rapat dengan masalah ini. Namun, tidak ramai antara kita yang tahu bahawa melalui kajian secara ilmiah, isu kemiskinan ini bukan saja ada di Baling tapi wujud secara melata di seluruh Negara.

Melalui carian di Google, saya dapati pada tahun 1960an lagi kajian mengenai isu ini sudah pun ada dilakukan oleh Prof Diraja Ungku Aziz, di mana beliau telah mengambil masa selama enam tahun utk melakukan penyelidikan tersebut, bermula di Ulu Tiram, Johor pada tahun 1963, sebelum ke Kedah, Perlis, Beserah Pahang, Kemaman Terengganu dan juga di Kelantan.

Antara penemuan beliau yang agak memeranjatkan waktu itu ialah masalah kemiskinan ini telah menyebabkan berlakunya KEBULURAN di Kemaman, Terengganu. Beliau juga mendapati masyarakat di situ menangkap ikan untuk dijual dan hasil jualan tersebut digunakan untuk membeli barang keperluan terutamanya beras.

Kerana itu, apabila seorang sahabat dari Pantai Timur menulis di laman facebook NGO Wargakilang, bertanyakan bilakah pula team wargakilang nak buat program amal bantu org2 miskin di Pantai Timur; ianya terus mengingatkan saya kepada kajian Pak Ungku Aziz ini. Teringin juga nak tengok, kalau pun bukan KEBULURAN tetapi masih wujudkah lagi masalah KEMISKINAN di Kemaman?

Lalu, di weekend yang lalu, selepas habis ja kerja jam 6 petang, kami terus bertolak dari Kedah ke Tganu untuk membuat tinjauan bagi mencari dan mengenal pasti keluarga miskin di sana – sekiranya ada – untuk dibantu setakat yang terdaya. Kami sampai di sebuah homestay di Kuantan sekitar jam 2 pagi.

Pagi-pagi besoknya, melalui seorang rakan , kami dibawa ke perkampungan Nelayan di sana. Masyaallah tak saya sangka, rupa-rupanya kenyataan Pak Ungku berkenaan isu kemiskinan di Kemaman ini bukan setakat benar tapi memang ada wujud hingga ke hari ini.

(Rumah seorang Nelayan yang berbumbung tarpan dan zink paras kepala, anak 8 orang tinggal bersesak-sesak, di musim tengkujuh tidak dapat turun ke laut, cari pendapatan tambahan dengan menangkap ketam; waktu kami ke sana, cuma dapat 2 ekor ketam kecik – bukan setakat nak jual nak makan sekeluarga pun tak cukup!)

Memetik kata-kata dari mulut sahabat kami, anak jati Kemaman, kerja kilang di Kemaman, dia cakap:

“Saya ini orang asal Kemaman, bila NGO Wargakilang minta saya tolong survey/cari tengok keluarga miskin di Kemaman ini, bila saya pergi cari – baru saya tahu rupa-rupanya di sini memang ramai orang miskin. Saya tak tahu pun sebelum ini, kalau saya tak pergi cari ini memang saya tak tahu - sungguh!”

Rata-rata keluarga Nelayan yang kami kunjungi itu bekerja di kapal orang (bukan kapal sendiri), anak-anak kecik masih bersekolah, isteri tidak bekerja. Sudah hampir 2 bulan tidak turun ke laut kerana musim Tengkujuh dan musim Ombak Besar yang melanda kawasan berkenaan sejak bulan Nov lagi. Seperti kajian Pak Ungku tadi, tanpa hasil laut, tiadalah beras di dapur.



Di waktu-waktu sebegini, BERAS yang selalu kita lihat bertimbun2 di ECONSAVE/K-4/GIANT/TESCO dan sebagainya itu adalah bernilai EMAS buat mereka. Di waktu-waktu sebegini, SARDIN TIN dan MILO adalah makanan mewah dan minuman lazat buat anak-anak mereka.

Di musim-musim hujan sebegini, BISKUT KERING dan KOPI-O adalah juadah istimewa untuk sekeluarga. NESCAFE dan BISKUT/COOKIES berjenama pula adalah sesuatu yang di luar mimpi mereka.


Namun begitu, sedihnya ada pihak cuba menangguk di air keroh di atas kesusahan hidup yang menimpa mereka ini. Entah apa tujuan, kerana politik barangkali, ada berbagai pihak sering datang kononnya nak buat bancian nak bagi bantuan minta maklumat itu ini daripada mereka.

Mungkin kerana itu agaknya, sahabat kami tadi tak pasal-pasal kena sergah waktu beliau datang buat tinjauan sebelum kedatangan kami ini. Sorang pakcik tu cakap, kalau setakat nak datang ambik nama tak payahlah, sebelum ini pun dah berpuluh dan orang yang datang tapi apa pun tak ada.

(Nasib baik Pakcik tu tak ada di rumah waktu saya pi interview isterinya ini, kalau tidak dengan saya sekali kena sergah)

Bila dengar sahabat saya bagitau macam tu , saya kata kesian kat depa, sudahlah hidup dalam kesempitan bertarung hidup menunggu musim tengkujuh yang masih berpanjangan, tiba-tiba ada pula pihak-pihak yang mempermainkan mereka begitu saja.

Saya kata, tak apalah - mungkin kami orang yang ke-21 mai melawat dan tanya macam-macam minta maklumat kat depa, tapi insyaallah kami tak akan hampakan harapan mereka; saya bagi tahu sendiri kpd keluarga-keluarga ini, pada tarikh 22 Jan 2012 lebih kurang jam 11 pagi jangan pi mana-mana, insyaallah ada insan-insan yang prihatin yang akan turun mai, bawa mai bantuan kat depai, insyaallah.

Seterusnya sahabat kami ini membawa kami ke beberapa buah lagi kawasan perkampungan Nelayan di Kemaman; tidak kami sangka di celah-celah kemiskinan yang menghimpit kaum Nelayan ini ada juga ramai golongan Ibu Tunggal yang memerlukan bantuan.

Rata-rata yang kami kunjungi, walau pun mendapat sedikit bantuan daripada JKM tetapi tidak cukup untuk menampung hidup terutamanya perbelanjaan anak-anak kecik yang masih bersekolah.

Salah seorang yang kami ziarah ialah Puan Zalipah Bt Seman, 37 tahun, seorang Ibu Tunggal yang membesarkan 7 orang anaknya dengan hasil menjahit.



(Pn Zalipah bersama anak-anaknya: Zulaikha, Nurul Huda, Mohd Amin, Aishah, Atikah, Mohd Ikhwan dan Najwa)

Bayangkan TUJUH orang anak, yang sulung tingkatan 4 dan yang bongsu berusia 3 tahun; bulan December hasil menjahit cuma dapat RM500 belum ditolak modal, dan bulan sebelum itu RM350 juga belum tolak modal. Bagaimanakah agaknya 8 beranak ini boleh survive dengan pendapatan bulanan yang jauh di bawah paras kemiskinan tegar ini?

Mungkin kerana itu, dua orang anak pompuannya yang di tingkatan 4 dan tingkatan 2 tidak ada pilihan, tetapi terpaksa mengorbankan masa mengulangkaji pelajaran untuk membantu ibunya menjual Burger di hadapan rumah. Menurut Puan Zalipah, hasil jualan burger yang tak seberapa itu (berapa ramai sangatkan org Kemaman yang makan Burger) sedikit sebanyak dapatlah membantu menampung perbelanjaan sekolah anak-anaknya.

Secara jujur , dalam banyak-banyak rumah dan keluarga yang kami kunjungi itu, di rumah Puan Zalipah inilah air mata saya hampir gugur. Tersentuh sungguh apabila melihat ketujuh-tujuh orang anaknya ini begitu tertib dan bersopan sekali, tidak nampak sangat wajah duka dan gelisah di wajah mereka; seakan dan seolahnya mereka sudah pun berjaya ditarbiah oleh si Ibu untuk menerima suratan takdir hidup mereka seadanya.

Dalam perjalanan keluar dari kawasan rumah mereka, anak-anak kecil ini melambai-lambai kami hingga hilang kami dari pandangan mata; sayu sungguh seolah-olah menanti janji kami untuk datang ke sana lagi pada tarikh yang dijanjikan. Insyaallah kami tak akan hampakan harapan mereka ini.

Tanpa saya sedari, keinginan saya untuk melihat apakah masih valid kajian Pak Ungku Aziz berkenaan isu kemiskinan di Kemaman ini, rupa-rupanya menemukan kami dengan kisah yang lebih tragis daripada itu; kisah ketabahan keluarga nelayan mengharungi musim tengkujuh yang berpanjangan dan juga kisah keperitan hidup beberapa orang Ibu Tunggal membesarkan anak-anak kecil mereka seorang diri.

Lantas isu utamanya di sini bukan lagi berkisar wujud ka tak wujud masalah kemiskinan di bumi Kemaman, tetapi persoalannya sekarang, sebagai anggota masyarakat apa yang kita semua mampu lakukan untuk mengurangkan bebanan mereka ini?

Kerana itu, kami di NGO Wargakilang dengan kerjasama beberapa orang sahabat bekas pelajar lama SMC (Sek Men Chukai, Kemaman) telah memutuskan dengan seberapa kederat yang kami ada, insyaallah pada hari Ahad 22 Jan ini kami akan melawat mereka lagi untuk memberi sumbangan.

Ada sahabat tanya: “Monier, berapa target sumbangan barangan untuk setiap keluarga?”. Saya reply balik, saya kata: “Berapa pun tak pa, beras sekampit pun ok kalau itu yang kita mampu sedia”.

Meringkaskan cerita, semua sekali ada 25 keluarga miskin/ibu tunggal yang akan dikunjungi nanti; kepada rakan-rakan pekerja kilang di Pantai Timur dan juga mereka-mereka yang ingin turut serta, bolehlah bawa sumbangan barangan masing2, bawa sendiri bagi sendiri, berkumpul di tempat letak kereta Masjid Geliga, Chukai Kemaman pada jam 9 pagi 22/1/2012 nanti.

Moga kerja buat kita yang tak seberapa ini akan dikira sebagai usaha amal yang berkekalan dan diberi pahala ganjaran yang berlipat kali ganda di SANA nanti, insyaallah.

moniermatdin@yahoo.com
16.Jan.2012
http://www.moniermatdin.blogspot.com

Tuesday, December 27, 2011

NGO Wargakilang di Lembah Kelang



From: Mohd Warikh (warikh_dmp@yahoo.com)

Alhamdullilah, JJMS zon tengah telah selesai sepenuhnya pada petang semalam. Ucapan terimakasih pada yg memberi bantuan terutamanya sdr Mirzan, keluarga GE (Sharul & Faizal), Alias dan isterinya dari putrajaya, Roha dan Monier.

Pada 25hb Dis kita selesai memberi bantuan pada PPRT Lembah Subang.





Utk PPRT Lembah Subang, kita berjaya memberi sumbangan peralatan sekolah kepada 65 pelajar, sessi mtvc oleh YB Monier mendapat respon yg sangat baik.






Saya tengok sebahagian besar waris khusyuk mendengar ceramah beliau.




Saya diberitahu ada waris yg dapat semangat baru lepas dengar ceramah Monier. Kalau anak kampung ulu banat (ni Monier yg kata masa mtvc) seperti Monier boleh berjaya maka depa pun boleh berjaya juga. Ramai waris yg terharu bila diberitahu Monier sanggup datang dari kedah ke subang semata-mata nak tengok anak-anak depa berjaya. Itu yg depa bagi tepukan gemuruh masa tengah mtvc kerana menghargai kedatangan beliau.




Banyak ilmu yg dikongsi walaupun masa pendek. Monier bagi 20 tips utk melahirkan anak staright A's. Insyaallah kami-kami yg hadir pun tumpang ambik ilmu dia juga.



Terimakasih juga pada tulang-belakang yg menjayakan JJMS zon tengah iaitu Sharul, Faizal, Borhan dan Nik yg turut hadir membantu perjalanan majlis.

Pada 26hb Dis disebelah pagi, kita telah menyerahkan sumbangan peralatan sekolah kepada 8 orang murid termiskin di PPR Ampang hilir.

PPR Ampang hilir merupakan lokasi bantuan sekolah yg kita adakan pada tiap-tiap tahun. Cuma kita kurangkan bilangan penerima supaya dapat memberi peluang kepada tempat lain pula untuk merasa pula.

Disebelah petangnya kita meraikan penghuni anak-anak yatim dan miskin di Raudhatul Jannah. Keluarga GE yg diwakili oleh Sharul dan Faizal telah bersusah payah menyediakan juadah majlis dengan menu utamanya beriyani kambing. Roha walaupun sakit telah bersusah-payah memandu ke sini semata-mata untuk menyalurkan sumbangan yg agak banyak berbentuk buku-buku bacaaan dan pencil colour.

Yg menariknya pengetua KAFA lembah subang juga turut serta menghadiri majlis bantuan di Raudhatul Jannah sambil berkenalan dengan Kak Nab iaitu pengasas rumah Raudhatul Jannah ini. Sebanyak 13 penghuni disini mendapat bantuan beg dan peralatan sekolah.

Utk JJMS zon tengah kita telah berjaya mengagihkan bantuan kepada seramai 86 pelajar miskin disamping bantuan-bantuan lain seperti pakaian terpakai. Ini merupakan aktiviti penutup utk tahun 2011 dan insyaallah kita berharap amalan yg kita lakukan ini adalah ikhlas semata-mata kerana Allah dan dikira sebagai amal jariah kita di akhirat kelak. Amin.

-warikh_dmp@yahoo.com-
YDP NGO WARGAKILANG

Sunday, December 18, 2011

JJMS Wargakilang: Antara Pendidikan dan Kemiskinan

Kurang lebih 2 minggu saja lagi musim persekolahan akan bermula. Ada waris yang sudah pun membuat persediaan untuk anak-anak ke sekolah, dan ada yang masih belum bersiap apa-apa.

Di kesempatan cuti hujung minggu yang lalu, pada tanggal 17 Dis 2011 bersama-sama dengan rakan-rakan drpd NGO Wargakilang, kami telah diberi masa dan lapangan untuk turun ke beberapa buah perkampungan di sekitar kawasan Parlimen Kulim Bandar Bharu untuk menghulurkan bantuan, khususnya untuk persediaan persekolahan dalam apa yg kami namakan sebagai JJMS: Jln-Jln Masuk Sekolah.

Bukan setakat beg dan peralatan sekolah yang disumbangkan, tetapi kawan-kawan kami dari berbagai buah kilang di sekitar Penang/Kedah ini turut membawa barang-barang keperluan harian seperti beras, gula, minyak, garam dan sebagainya. Di samping itu kami turut juga membawa sebuah kenderaan 4WD TRITON penuh dengan kain baju terpakai yang dikirim oleh rakan-rakan (ada yg kirim mai dari KL sana).

Di persinggahan yang pertama, kami turunkan barang-barang sumbangan itu di sebuah Dewan Orang Ramai di Kg Sg Tengas. Bersama-sama kami ialah JKKK Kg Sg Tengas yang membantu mengumpulkan waris dan pelajar2 untuk menerima bantuan tersebut.


(Berebut-rebut org kampung di sini memilih kain baju terpakai. Sorang makcik tu kata, t.kasih banyak-banyak la bawa kain baju ni – sebab sekarang ini musim KENDURI!!)


(Anak-anak dari perkampungan Sungai Tengas)


(Murid-Murid Sek Keb Sungai Taka dan Sek Keb Sungai Batu)

Seronok tak kira anak-anak ini dengan beg dan peralatan sekolah baru. Setiap orang kami bekalkan dengan KAMUS ENGLISH-MELAYU supaya kalau ditakdirkan depa kerja kilang mcm kami bila besar nanti, taklah depa kekok sangat nak cakap omputih.

Di Sekolah Keb Sg Taka pula kami dibantu oleh seorang guru sekolah berkenaan yang kebetulan pernah bekerja kilang sebelum ini, kemudian berhenti dan menyambungkan pelajarannya di bidang perguruan. Beliau berjaya mengumpulkan waris-waris dan pelajar-pelajar keluarga miskin/susah drpd 2 buah sekolah; Sek Keb Sg Batu dan Sek Keb Sg Taka.

Bukan setakat beg dan peralatan sekolah dan brg2 keperluan harian yang dihulurkan – tetapi, kami turut mengadakan ceramah motivasi untuk waris dan pelajar secara percuma.

Asalnya ceramah motivasi ini tidak ada dalam jadual kami, tetapi saya yang volunteer – kerana terngiang2 dalam telinga saya kata-kata seorang sahabat – kata beliau:

“Hangpa dok masuk kg bagi bantuan kat org miskin ini tak selesai masalah, depa tu perlukan pancing bukannya ikan. Hangpa bagi ikan, depa makan ikan tu habis hari tu aja lah, kalau bagi pancing, boleh depa pi mancing ikan untuk makan, untuk jual dan sebagainya”

Masalahnya sahabat saya yg cakap tu, dia sendiri tak bagi apa – ikan tak bagi, pancing pun tak bagi.


(Salah seorang Pakcik dgn anaknya sedang menerima beg dan peralatan sekolah)


(Pakcik yg sama teruja tak terkata menerima sumbangan brg2 keperluan seharian. On the way keluar, Pak Guard sekolah tahan kami, dia kata kesian kat pakcik tu dok tunggu tepi pintu pagar sekolah, tak ada org nak bawa brg2 tu balik rumah dia – tak ada kenderaan, nak kena upah org tlg angkut dengan motosikal ka apa)

Berbalik kpd cerita pancing tadi, oleh kerana kami hanyalah sebuah NGO kecik, hanyalah sekumpulan pekerja-pekerja kilang yang tak punya apa-apa dana khusus, Cuma mengharapkan kwn2 turun bawa brg2 sumbangan sendiri-sendiri bila ada apa-apa aktiviti, maka tak mampulah kami nak tawarkan pancing seperti yg dinyatakan itu.

Lalu, apa yg kami ada hanyalah sekedar sekelumit ilmu motivasi diri untuk dikongsi.

Di kedua-dua tempat itu, saya kongsikan cerita dgn waris tips mcm mana nak bagi anak dapat UPSR 5A (kebetulan 5 org anak saya yg pertama Tuhan anugerahkan depa dapat 5A). Dgn pelajar2 pula saya kongsikan pengalaman bagaimana saya yg anak org susah asal dari Baling Kedah, waktu kecik rumah tak ada api tak ada letrik, akhirnya boleh belajar sampai ke Amerika.

(Motivasi untuk waris dan pelajar: antara yg saya tekankan – Tidak ada termaktub dalam Al-Quran mahu pun Hadith atau pun dalam perlembagaan Negara atau mana-mana Akta yang mengatakan bahawa kalau ayahnya kerja menoreh getah atau pun kait dahan kelapa sawit, maka WAJIB lah besar nanti anaknya juga jadi penoreh getah atau pun pengait dahan kelapa sawit).

Kami tekankan kpd kedua-dua pihak, Waris dan Kanak-Kanak bahawa sanya satu-satunya jalan keluar drpd kepompong kemiskinan ini ialah melalui PELAJARAN. Kami berharap tips motivasi ini bersama-sama dengan beg dan peralatan sekolah itu akan mampu menjadi satu persediaan yg berguna untuk anak-anak ini menjelang musim sekolah dibuka nanti. Mudah-mudahan.

Walau pun begitu, motivasi hanyalah motivasi, sebagai penceramah motivasi mahu pun orang politik, kita boleh cakap dan ceramah berdegar-degar tapi bila Ujian Tuhan Turun, siapa pun tak boleh buat apa. Mereka yg miskin ini bukan mereka yg pilih nak jadi miskin, kalau boleh mereka pun tak mau miskin, tapi apakan daya takdir tuhan sudah pun menetapkan begitu.

Misalnya, ada seorang waris yg kami temui, seorang ibu tunggal, matanya kelam, ada 2 orang anak bersekolah, tinggal dgn ibunya yg agak tua. Ibunya pula mencari rezeki menoreh getah di tepi rumahnya. Pokok getah itu pula bukan pokok tanam tapi tumbuh liar secara semula jadi, ada la beberapa batang saja, tapi cukup untuk menyara anaknya yg kelam dan 2 orang cucunya itu beserta dengan 2 orang anak-anak yatim piatu yg juga masih bersekolah dan perlu dibantu.

Saya tak dpt siarkan gambar mereka di sini atas sebab-sebab tertentu, tapi saya nak tunjuk dua keping gambar di sini yg saya pun tak tau nak ulas mcm mana.
(Kolah untuk tadah air hujan di belakang rumah)

(Untuk minum, air disedut dari telaga yg tak serupa telaga di sebuah kawasan berpaya berdekatan)

Bila ditanya tak adakah bekalan air, makcik tua ini cakap sudah bertahun-tahun dipotong. Tak mampu nak bayar bil air; kerana itu mereka terpaksa mengharapkan air hujan dan air telaga berdekatan.

Sedih – sampai miskin macam itu sekali orang-orang kita!

Penutup: sebagai rakyat biasa, marilah sama-sama kita turun padang membantu rakyat2 biasa yang lain ini. Kita boleh ambik contoh geng-geng pekerja kilang NAZA di Gurun Kedah misalnya; depa hantar satu team, mai sekolah kat sini bagi RM2700, minta cikgu tolong settle bayaran persediaan nak masuk sekolah nanti kpd murid-murid yang layak menerimanya. Terima kasih kpd pekerja2 kilang NAZA, khususnya Ustaz Ku Md Ali dan anak-anak buahnya. Moga ramai lagi yang akan melakukan yg serupa.

Sekian, sekadar perkongsian untuk renungan bersama.

moniermatdin@yahoo.com
19.12.11
http://www.moniermatdin.blogspot.com

Tuesday, December 6, 2011

JJMS: Jln-Jln Masuk Sekolah NGO Wargakilang

Pejam celik pejam celik, tak lama lagi sunyilah rumah saya ni bila budak-budak ni balik Asrama dan masuk ke sekolah semula. Termasuk yg ada kat U tu, semua sekali ada 7 orang bersekolah tahun depan; cuma tinggal 2 orang saja lagi kat rumah habuan buat semangat tak bagi sepi rumah ni nanti.

Walaupun kami suami isteri bekerja, namun mengeluhlah juga bila teringatkan nak kena sediakan perbelanjaan anak-anak sekolah ini. Itu kami yg berpendapatan tetap, macam manalah pulak dengan orang-orang kampung kat dalam-dalam yang kerja depa cuma jenis kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang?

Macam pula dengan nasib penoreh getah (bukan tauke ladang getah) yang dok kerja kuli menoreh getah di ladang orang tu? Tambah-tambah musim hujan sekarang ni, macam manalah agaknya mereka menyediakan perbelanjaan anak-anak masuk sekolah?

Kerana itu, seperti di beberapa musim cuti sekolah yang lepas, kali ini kawan-kawan di NGO Wargakilang sekali lagi dok ajak saya pi masuk kampung nak survey tengok mana-mana keluarga yg dirasakan layak diberi bantuan.

Ikhlas cakap, kadang-kadang saya naik kagum sungguh dengan kawan-kawan saya yg dua tiga orang ni, Aznee/Fendi/Shukri/Wahab, komited dan istiqamah sungguh depa dengan kerja-kerja amal dan kebajikan ini. Kalau ikutkan saya, musim cuti sekolah ni sibuk sungguh, kenduri merata dan anak-anak pun tak bawa pi cuti makan angin mana-mana lagi. Yg mak dia pula dok tarik muka dah, janji nak balik Terengganu pekena Nasi Dagang kat depan stesen teksi Bandar Chukai tu, alih-alih tak jadi pula, sibuk dengan kawan-kawan di Wargakilang ni masuk kg riki/cari org susah.

Tapi, sebab dok ingat kerja-kerja amal ni besar fadilatnya, Alhamdulillah orang rumah dan anak-anak saya paham. Antara yg saya ingat, waktu dok ajaq anak ngaji Quran hari tu, saya ada terjumpa satu ayat dalam Surah Al-Baqarah yg menyebabkan saya jadi lebih bersemangat nak buat kerja amal ini.

Ayat 274, marhumnya:

“Org2 yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau berterang-terang, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yg tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”

Rupa-rupanya, baru saya tahu, kerja amal ini selain dpt pahala adalah merupakan usaha untuk MENJAUHKAN BALA drpd berlaku kpd kita dan keluarga terdekat insyaallah.

Pahamlah saya kenapa selama ini bila saya selalu risau teringat anak-anak saya yg 9 orang tu jatuh sakit ka apa; ya lah cuba bayangkan kalau cuma 3 saja drpd 9 orang tu masuk Hospital, sure kelam kabut urusan kami suami isteri. Tetapi setakat ini Alhamdulillah, semuanya sihat wal-afiat, cuma demam sikit-sikit, ambik ubat farmasi dah kebah, tak ada sakit kronik teruk-teruk.

Semua ni saya yakin adalah kerana kerja-kerja amal yg kami lakukan secara tidak sengaja ini, yg asalnya cuma dilakukan atas dasar kemanusiaan tanpa mengharapkan balasan apa-apa, tapi tak sangka rupanya ada fadilatnya yg tersembunyi seperti yang dijanjikan Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ini.

Maka itu, dengan rendah hati, saya dengan ini mewakili kawan-kawan di Wargakilang ingin menjemput tuan-puan yang berminat untuk bersama-sama kami dalam satu lagi aktiviti JJMK (Jln-Jln Masuk Kg) atau pun kali ini diberi nama JJMS (Jln2 Masuk Sekolah) untuk kesekian kalinya pada hari Sabtu 17hb Disember ini. Tujuannya ialah untuk memberi sumbangan dan bantuan persekolahan kpd keluarga-keluarga miskin/susah untuk anak-anak mereka kembali ke sekolah.

Di weekend yg lalu kami turun riki di beberapa buah desa pedalaman dalam kawasan Parlimen Kulim Bandar Bharu. Oleh kerana dlm kebanyakan aktiviti sebelum ini, kami cuma kerap masuk ke kawasan-kawasan ulu sekitar Baling dan Sik sana nu; bila jumpa ada juga orang susah kat kawasan Parlimen Kulim Bandar Bharu ni, kami jadi sedikit terkedu. Tak sangka dlm kaw Parlimen ini pun ada juga org susah.

Adik dalam gambar di bawah ini misalnya, tahun depan form 2, waktu anak saya yg usia hampir sebaya waktu ini tengah dok mengadap computer main facebook/game atau pun mengadap Astro, adik ni pulak sibuk pi mengail kat batas-batas bendang dan tebing carok/sungai. Dia habag, tiap hari dapat ikan keli 3 empat ekor (keli asli bukan bela) bawa balik bagi mak dia masak buat makan depa sekeluarga.




(Rumah tanpa pintu yg sempurna)

Ayah dia En Razali Bin Bakar cumalah pekerja kampung (jenis kais pagi makan pagi kais petang makan petang), ada 3 orang anak nak kena sediakan perbelanjaan nak masuk sekolah tak lama lagi ni.

Ini pula gambar Abu Hassan bin Ishak, nampak muda tapi dah 40an.


Apa kerja dia? – macam En Razali juga, kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Berpagi-pagi lagi sudah keluar rumah meredah bukit dan hutan, pi cari petai. Jumpa ja pokok petai terus panjat sampai ke JULAI (hujung ranting) petik petai-petai tu dari Julai ke Julai. Berpetang-petang, pikul dan tanggung petai-petai itu bawa balik ke kampung. Kemudian tolak kpd peraih dgn harga yg tidak seberapa, lepaslah untuk makan minum keluarganya buat sehari dua. Esok lusa ulang lagi, mcm tu lah rutin Abg Abu Hassan tiap-tiap hari.

Mungkin kerana terlalu leka dan kusyuk dgn dunia petainya, saban hari nun jauh di puncak rimba , lalu sikit demi sedikit beliau terpisah dari dunia nyata; tak kisah dan tak peduli agaknya bila mana anaknya yg sepatutnya tahun depan Tingkatan 3, tahun ini berhenti sekolah drop macam tu saja.

Hanyut lagi seorang anak kita dibawa arus kemiskinan bangsa!!

Tak dapat saya bayangkan masa depan anak Abu Hassan ini; di kilang saya kerja ini, kalau ada SPM pun belum tentu boleh masuk, inikan pula tak ada PMR!

Entahlah, kalau tulis lebih-lebih nanti bunyi emosi pulak. Mailah kita bantu apa yg kita mampu, tak payah dok salahkan sapa-sapa, biarlah SOLDADU-SOLDADU POLITIK BANGSA bertempur sesama mereka di atas sana, tapi untuk kita rakyat marhain ini, marilah berpijak di bumi nyata:

“Sesungguhnya biar apa pun orang kata, isu kemiskinan masih tetap merupakan agenda utama permasalahan bangsa” – Prof Ungku Aziz.

Sekampit beras yg kita bawa untuk keluarga ini dan lebih 20 keluarga yg lain yg bakal kita kunjung nanti mungkin tidak akan mampu membasmi kemiskinan dlm erti kata yg sebenarnya, tetapi memberi peluang untuk mereka tersenyum lebar menjelang sekolah dibuka,insyaallah orang alim kata besar pahalanya.

Maka itu, kpd yg berminat nak turut serta, sebelum jam 8:00 pagi Sabtu 17hb Disember 2011, sila berkumpul di Parking Lot KHTP, Kulim Kedah.

Mudah-mudahan kerja buat kita yg tak seberapa ini insyaallah akan dikira sebagai pahala yang berkekalan di SANA kelak. Insyaallah!!

Sekian.
moniermatdin@yahoo.com
6.12.11
http://www.moniermatdin.blogspot.com

Tuesday, November 8, 2011

Jln-Jln Masuk Kg: Orang Tak Jual Daging Korban

Alhamdulillah, dengan berkat doa Ustaz Ismail Mahmud di Mekah barangkali, majlis korban 14 ekor lembu anjuran NGO Wargakilang dengan kerjasama Pondok Bandar Hilir Sik Kedah pada hari raya ke-2 lalu berjalan lancar. 14 Ekor lembu berjaya ditumbangkan dalam jangkamasa kurang hampir 2 jam setengah.

Ustaz Ismail, merangkap Mudir Pondok Bandar Hilir memang gusar sangat, risau-risau kalau majlis Korban ini tidak dapat berjalan seperti yang dirancang; ya lah bukan kata pihak pondok tapi kami sendiri tak ada pengalaman buat korban sampai 14 ekor serentak macam tu.


Sdra Wahab, Pengerusi Biro Amal wargakilang sedang meniatkan korban utk setiap peserta. Kena baca ikut skrip - pertama kali buat!!


Antara korban yang berjaya ditumbangkan.


Pihak Pondok dengan kerjasama masyarakat sekitar banyak membantu melicinkan majlis korban ini.


Bergambar ramai-ramai: Korban Yang Paling Akhir - lembu no. 14.

Seperti yang dirancang tepat jam 10:30 pagi, 11 kereta rakan-rakan dari NGO Wargakilang berkonvoi masuk ke kampung-kampung di pedalaman Sik dan Baling meng-agihkan daging-daging korban tersebut.

Sebelum Zohor kami menghala ke pedalaman Nami; di situ kami peruntukkan 100 bungkus dengan 2kg setiap satu (daging + tulang) untuk 100 keluarga miskin di situ. Kebanyakan keluarga tersebut pernah kami kunjungi sewaktu program Jln-Jln Masuk Kampung kami dulu.


Paklong Mat Zin, tuan rumah tempat semua penerima berkumpul.


Dalam perjalanan pulang dari Nami, kami singgah di rumah 3 beradik di SIK yang hidup dlm kemiskinan, yang sulung darjah 4 terpaksa berhenti sekolah sebab kena jaga adik-adiknya bila ayahnya keluar mencari rezeki, yg ada saya tulis di:

http://moniermatdin.blogspot.com/2011/11/jln-jln-masuk-kg-mencari-golongan-ke-3.html

Selepas tersiar kisah mereka di berbagai mailing list/blog/website; ramai yang mai bagi barang-barang minta tolong hantar pi kat depa. Lalu, mengambil kesempatan expedisi korban ini, kami singgah di rumah3-beradik ini bagi daging korban, kami turut bawa hampir 3 TRITON barang-barang keperluan harian seperti susu, gula, biskut, pampers, toto, teddy bear berbagai rupa, tikar dll.

Terima kasihlah kpd sapa-sapa yang bagi sumbangan itu, moga ada pahalanya menanti di SANA.

Di sebelah petangnya kami menghala ke daerah kelahiran saya di Baling Kedah. Antara rumah yang kami singgah ialah di rumah seorang Ibu Tunggal, penoreh getah yang kami pernah turun bantu bina bilik air di rumahnya beberapa tahun lepas – kisah keluarga ini saya tak akan lupa sampai bila-bila sebab di situlah saya dan kawan-kawan di NGO WARGAKILANG kena jerkah dengan ORANG BESAR di kampung itu, dia mai sergah kami kata kurang ajar masuk kampung orang tak minta kebenaran. Nak minta kebenaran apanya, kampung itu sebelah kampung saya ja, adik beradik semua tu..apa ra..

Kali ini kami singgah situ bawa daging korban untuk keluarga berkenaan dan dua tiga buah rumah lagi di sekelilingnya.

Di daerah Baling ini, kami agihkan daging korban kpd hampir 50 buah keluarga drpd pelbagai buah kampung yang berbeda.



Pak Lang Matsin, antara penoreh getah di Baling yang mendapat habuan korban kami tahun ini.

Kembara korban kami berakhir di Baling, tetapi buat saya ada dua bungkus lagi yang saya bawa pulang ke rumah saya. Satu bungkus untuk Kak Mek yang dok bela anak-anak yatim piatu di Kg Paya Ketiau berdekatan.

Satu bungkus lagi untuk jiran saya yang dok jual nasi lemak pagi-pagi kat depan restoren Cina tak jauh dari rumah saya itu. Hari tu waktu beli nasi lemak, dia ada habag kata dia rasa kempunan sungguh tak dapat makan daging Korban. Kata dia, tiap-tiap tahun Masjid buat Korban, tapi sebungkus pun tak pernah sampai rumah dia.

Kali ini, Alhamdulillah, merasa juga dia dapat makan daging Korban ini.

Tersengih gembira sahabat saya ini, akhirnya dapat jugak dia daging korban.
Tak taulah dia nak buat daging masak apa malam ini.

Malam tu adik pompuan saya pulak talipon minta nak merasa daging korban sikit.

Sedar tak sedar, baru saya perasan, rupa-rupanya daging korban ini tak ada dijual di mana-mana. Hang ada duit banyak mana pun, kaya tara mana pun, kalau pi supermarket ka, econsave mana ka, depa tak jual daging korban ini. Patutlah pun daging korban ini sedap dan lain sungguh rasanya berbanding dengan daging biasa.

Terima kasihlah kepada sahabat-sahabat yang menyertai korban kami pertama kali ini.
Terima kasih sebab bagi peluang kpd orang-orang miskin dan susah di pedalaman Sik dan Baling, dan juga orang biasa di kawasan perumahan dapat merasa nikmat makan daging korban ini.

Saja nak habag, sesungguhnya apa pun orang kata, mengikut pengalaman kami dok agihkan daging korban merata kampung ini, sesungguhnya di Malaysia ini masih ramai lagi golongan ke-3 yang layak dan dok ternanti-nanti daging-daging korban ini. Bukan kata golongan ke-3 atau pun golongan fakir miskin, tapi masih ramai lagi orang-orang biasa, orang-orang kebanyakan yang saban tahun dok kempunan tak dapat makan daging korban.

Semalam seorang kawan habag, jiran dia dok tunggu dekat 3 jam kat suatu majlis korban (5 ekor kot) di suatu tempat Kulim, puas tunggu secebis daging pun tak dapat. Kalau dia habag awai, bolehlah juga kami simpan sebungkus buat jiran dia tu.

So, tahun depan, jom lah ramai-ramai kita sertai majlis Korban ini; insyaallah ada rahmatnya buat semua!


moniermatdin@yahoo.com
9.11.11
http://www.moniermatdin.blogspot.com