Monday, August 29, 2011

Jln-Jln Masuk Kg: Salam Lebaran

Semalam , seawal jam 5 pagi saya terima beberapa SMS drpd kwn-kwn terdekat memaklumkan kematian salah seorang bekas rakan sekerja kami. Besok pagi, awal-awal lagi boss kat tempat kerja SMS; seperti biasa antara JD (tugasan) saya di tempat kerja ialah jadi wakil kilang pi ziarah jenazah bila ada hal-hal kematian yg sedemikian.

Saya reply SMS boss saya itu, habag kat dia kata saya tak boleh pi sebab di waktu yg sama, 2 hari lagi menjelang raya saya harus bersama isteri yang akan menjalani pembedahan berkaitan penyakit buah pinggang di hospital swasta berdekatan. Boss saya itu reply balas balik, antara lain dia luahkan rasa terkejut di atas pemergian bekas rakan sekerja kami itu, yg dlm usia yg agak muda sudah pun pergi menemui penciptanya, meninggalkan anak2 yang masih kecik yg masih belum mengerti apa-apa. Di penghujung SMS itu beliau menulis:

“Life is full of unpredictable, isn’t it?”

Kata-kata ini mengingatkan saya kepada JJMK Finale Wargakilang kami untuk Ramadhan kali ini.

Sabtu 27hb Ogos yang lalu, dalam siri terakhir jln-jln masuk kampung bulan puasa NGO Wargakilang, tanpa dirancang perjalanan kami ke pedalaman Baling ini, kami banyak bertemu dengan ibu-ibu tunggal yang kehilangan suami dalam usia yang agak muda, tinggal bersama mereka anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Beberapa orang antara mereka akan menyambut lebaran yang pertama tahun ini tanpa seorang insan bergelar suami dan abah di sisi. Ujian hidup untuk mereka, muhasabah diri untuk kita-kita.

Antara yang kami temui ialah Pn Maimunah Bt Md Rejab, pertengahan 40an atau pun panggilannya Kak Nah, ibu tunggal anak 4, seorang penoreh getah sepenuh masa selepas suaminya yang bekerja di kilang kuari tak jauh dari pekan Baling meninggal dunia beberapa bulan yang lalu kerana komplikasi penyakit buah pinggang.

Tanpa kemudahan insuran kesihatan, tak banyak yang mampu Kak Nah dan arwah suaminya lakukan, hanya berubat cara kampung dan mengharapkan bekalan ubat dan rawatan dari hospital kerajaan yang terhad kemudahannya.

Lihatlah Kak Nah dalam gambar di bawah ini, walaupun duka di hati masih belum reda, namun digagahkan juga senyum tanda terima kasih di atas kunjungan team Wargakilang ke kampungnya.



Yang tersentuh hati bila melihat gambar Kak Nah sedang menerima sumbangan daripada sdra Shukri_EES, Timbalan YDP Wargakilang ini ialah tang pakaian serta tudung yang dipakai Kak Nah; ini adalah sebahagian drpd kain baju terpakai yang kwn-kwn bagi yang saya bawa pulang di awal Ramadhan hari itu.

Org kg ini biasanya kalau ada org luar nak mai melawat depa, depa akan pakai yang paling cantik yg depa ada; bila saya tengok pakaian Kak Nah ini saya rasa amat terharu, rasa terima kasih kat Kak Nah sebab dia appreciate sungguh kain baju yang saya bawa balik itu.

Di bawah ini pula adalah adalah salah seorang anak Kak Nah.





Baju dan seluar yang anak Kak Nah pakai ini pun adalah hasil sumbangan kain baju terpakai kawan-kawan sekelian. Terima kasih banyak-banyak. Nampak ceria anak Kak Nah ini walaupun tahun ini, di pagi raya mereka 4 bersaudara dan bondanya akan menyambut raya buat pertama kali tanpa abah di sini.

Sengaja saya bawa rakan-rakan ke rumah Kak Nah kerana sebebetulnya saya memang mengenali Kak Nah sedari kecil. Kampung yang kami kunjungi ini sebenarnya adalah kampung kelahiran saya sendiri.

Selain Kak Nah, saya turut kumpulkan beberapa orang lagi ibu tunggal dan OKU sekitar kampung saya ini untuk menerima bantuan, lihatlah wajah-wajah mereka ini terutamanya ibu tunggal seperti Puan Juariah, Puan Aminah, Puan Ani dan juga Kak Nah sendiri; bagaimanakah rasanya mereka menempuh pagi syawal dengan hanya anak-anak tanpa suami dan ayah bersama? Hanya mereka dan insan-insan yang pernah berada dlm situasi itu saja yang memahami.

Gambar beberapa orang Ibu Tunggal dan OKU di hadapan rumah saya sewaktu kecil

JJMK Finale Wargakilang ini sebenarnya tidak dirancang untuk ke rumah ibu-ibu tunggal, namun takdir barangkali, hampir kesemua rumah yang kami kunjungi itu adalah rumah Ibu Tunggal. Antaranya ialah rumah Kak Zariah yg pernah saya tulis kisahnya lima enam tahun yang silam, kisah ketabahan beliau sebagai seorang ibu tunggal, sanggup terus menoreh walaupun ada gajah liar sedang bertempik mengamuk di kebun getah bersebelahan, semata-mata kerana teringatkan anak-anak di rumah, kalau tak menoreh apa yang anak-anaknya nak makan nanti.

Perjalanan kali ini turut membawa kami ke rumah seorang lagi ibu tunggal yg pernah kami kunjungi suatu waktu dahulu, iaitu Kak Mazni di Pulai Baling Kedah; di mana kisah ketabahan beliau menghadapi dugaan hidup menjaga arwah suaminya yang lumpuh dan arwah ayahnya yang uzur, kisah beliau menangis tersedu-sedan tatkala saya menghulurkan note RM50 tanda terima kasih yg tidak terhingga itu; tulisan email saya megenai kisah beliau bersama anak-anak bertajuk ketabahan seorang wanita ini akhirnya tersebar merata internet, kemudian masuk Harian Metro, the STAR, TV3, majalah dll, kemudiannya mendapat perhatian org2 besar politik. The rests is a history.

Dalam kunjungan kami baru2 ini, Kak Mazni dok ucapkan terima kasih terima kasih tak berenti-renti. Dia kata dia tak tau nak habag mcm mana lagi, tapi dia nak ucapkan terimakasih sungguh-sungguh kepada team WARGAKILANG. Hasilnya kini, hidup beliau sekeluarga sudah banyak berubah. Anaknya yang sulung si Aiman itu kini dapat tawaran masuk Universiti. Terimakasih banyak2 dari Kak Mazni, beliau mendoakan kesejahteraan, murah rezeki, panjang umur dipermudahkan semua urusan kpd semua yang pernah membantu dan mengubah sejarah hidup beliau dan anak-anaknya ini.

Namun, bukan semua ibu tunggal beruntung nasibnya dan secekal Kak Mazni.

Ada sebuah rumah di pedalaman Kemangin, Baling Kedah; mungkin boleh dikatakan sebagai antara rumah terakhir sebelum jalan kampung dari Baling bertemu kawasan hutan di lebuhraya utama Baling-Grik melalui banjaran Bintang.

Penghuninya ialah seorang Ibu Tunggal dan 4 orang anak-anaknya yang masih kecil. Arwah suaminya orang kampung panggil Ad Wanon (mungkin Azhar Bin Wan Zainon barangkali). Sewaktu arwah masih hidup, team Wargakilang pernah berkunjung ke rumah beliau beberapa kali kerana beliau antara keluarga yg kerap kami singgah jika Wargakilang masuk kampung di daerah Baling.

Kisah beliau agak tragis; hari ini boleh jadi kpd Ad Wanon esok lusa boleh jadi kpd kita.

Dari kampungnya di Baling, hanya berbekalkan sijil SPM dan kemahuan mahu berjaya yang membara, Ad Wanon berkembara ke Kuala Lumpur. Hasil usaha bertahun-tahun di sana, beliau akhirnya menjadi antara peniaga Cha Keow Teow yg berjaya.

Sewaktu arwah masih hidup, arwah pernah bercerita kpd saya betapa senangnya hidup beliau di Kuala Lumpur ketika itu, rezeki perniagaan beliau berlimpah ruah hinggalah ianya ditarik Tuhan dalam satu kejadian yang tiba-tiba saja.

Sewaktu membawa anak-anaknya mandi di sebuah kawasan air terjun tak jauh dari KL, tiba-tiba beliau diserang sakit jantung yang mendadak, terkaku tak mampu nak bergerak, tak pasti saki jantung berlubang atau macam mana. Beberapa bulan beliau terlantar di hospital menerima rawatan. Perjalanan takdir mentakdirkan beliau terpaksa tutup bisnessnya dan pulang ke kampung; sebab utamanya ialah kerana keadaan jantungnya tidak mengizinkan beliau bergerak jauh, selangkah dua sudah naik mengah, dan sebab yang keduanya, bila beliau ke pusat rawatan jantung tersohor di ibu Negara, beliau diketepikan kerana tiada Insuran.

Lalu, berangkat pulanglah Ad Wanon isteri dan anak-anaknya dari Kuala Lumpur ke Baling. Beliau sekeluarga menetap di sebuah rumah usang bersebelahan rumah mertuanya. Di penghujung hayatnya Ad Wanon mencari nafkah dengan mengambil upah bawa beruk panjat pokok kelapa, berapa sangatlah yg beliau dapat.

Beliau pernah mengadu kpd saya tentang egonya yg terpaksa diketepikan bila tiada beras di rumah, terpaksa termengah-mengah ke rumah pak mertua memohon simpati, kata beliau – terpaksa tebal muka, pi sembah orang hanya untuk secupak beras, sedangkan beliau secara semula jadi adalah seorang yang suka berusaha berdikari dan tidak suka mengharapkan simpati dan sumbangan orang.

Waktu kami bagi dua tiga kampit beras kat dia dulu, arwah pernah mai bisik kat saya kata:

“Aku ini terpaksa tebal muka Munir, terima beras dari hang!”

Sebab itu, setiap kali JJMK Wargakilang ke daerah Baling, rumah Ad Wanon pasti kami tidak lupakan; seolah-olahnya bagai ada satu suara membisikkan kpd saya “Munir, hari ini Ad Wanon, esok lusa mungkin jadi kat hang pulak!”.

Beberapa bulan lepas, baru saja Ad Wanon mendapat rumah PPRT, beliau pergi mengadap Illahi; bukan kerana serangan jantung tapi kerana komplikasi sakit buah pinggang. Tanpa insuran untuk berubat di hospital swasta, sudah takdir, Ad Wanon meninggal di hospital berdekatan.

Sewaktu berkunjung ke rumah arwah,rumah PPRT bantuan kerajaan, kami memang dapat merasakan rasa sayu yang sungguh-sungguh; apatah lagi melihatkan 4 orang anak-anak keciknya yg masih belum mengerti apa-apa di sisi ibunya ini. Yang jadi sedihnya lagi kami dimaklumkan si ibu ini pula mcm patah semangat, begitu kurus berbanding dulu, tak mampu bekerja hanya mengharapkan bantuan ayah dan saudara mara.




Buat pertama kalinya saya lihat Tuan Hj Fendi, peneraju utama Wargakilang ini berlutut di hadapan mana-mana orang yang pernah kami kunjungi; dapat kami rasakan kesedihan yang sama yang Tuan Hj Fendi rasakan.



Inilah dia sang beruk yang pernah membantu keluarga Ad Wanon suatu ketika dulu, kini hanya tinggal kenangan.


Wajah-wajah sayu anak2 Ad Wanon sewaktu menghantar kami ke kaki jalan.

Moga keluarga Ad Wanon, keluarga Kak Nah, Kak Mazni, Kak Zahariah, Pn Juariah, Pn Aminah, Pn Ani dan lain-lain lagi itu akan terus tabah mengharungi hari-hari, terutamanya pagi syawal tanpa seorang insan bergelar ABAH di sini.

Kepada yg tidak dapat beraya bersama tersayang, jadikan kisah ini sebagai tauladan; kalian semua tidak dapat bersama buat sementara tapi tak lama lagi bertemu jua sedangkan mereka di atas berpisah buat selama-lama.

Kerana itu bila isteri saya mengeluh sedih kerana terpaksa menjalani operation buah pinggang 2 hari sebelum raya dan khuatir kami semua terpaksa beraya bersama-samanya di katil hospital, saya cakap, saya kata:

“Tak pa haih, sekurang-kurangnya kita 11 beranak boleh beraya bersama-sama, yang itu yang pentingnya, raya di mana pun tak apa!!

Sekian catatan terakhir saya untuk JJMK Bulan Ramadhan tahun ini.

Moga ada manafaatnya untuk kita semua.

Salam Lebaran.
Maaf Zahir Bathin.
moniermatdin@yahoo.com
29 Aug 2011

No comments: