Tuesday, August 14, 2012

JJMK Wargakilang: INTEL Outside


Tanggal 11 Ogos yg lalu, tercatat sejarah buat kami aktivis Wargakilang kerana buat pertama kalinya sejak penubuhan rasmi Wargakilang pada tahun 2005, pihak NGO WARGAKILANG telah diberi pengiktirafan oleh pihak kilang INTEL, sebuah syarikat Multinational Antarabang yang terulung di sebelah sini untuk membantu team CSR kilang mereka mengadakan aktiviti amal masuk kampung memberi sumbangan kpd keluarga miskin yang memerlukan.


(Urusetia NGO Wargakilang Inside INTEL)

Kesemua sekali ada lebih daripada 20 buah kenderaan pekerja INTEL dengan T-Shirt CSR berwarna biru mereka. Turut serta adalah beberapa orang kakitangan INTEL yang bukan Islam dengan kaum keluarga masing-masing, yang kami difahamkan merupakan antara Boss Besar di kilang berkenaan.

Perjalanan masuk kampung kali ini mungkin tidak semeriah JJMK Wargakilang 4 Ogos 2012 yg lalu, di mana lebih daripada 100 buah kenderaan menyertai konvoi tersebut, tetapi perjalanan masuk ke kg-kg bila-bila masa pun memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi bila melalui mini-mini tar kampung di celah-celah hutan getah, kelapa sawit dan sesekali melalui pinggir hutan yang agak terpinggir. Suara riang-riang yang bercengkerama di pinggir rimba memang mengasyikkan.

Antara kampung yang kami singgah ialah sebuah desa di pedalaman Sungai Tengas dan Sungai Taka. Penduduk di sini rata-ratanya bekerja sebagai NGO (Noreh Getah Orang). Waktu itu mentari sudah pun mula memancar terang, dan waktu itu juga saya lihat berduyun-duyun warga penoreh ini bermotor keluar dari kebun/ladang getah berdekatan, mai hantar getah sekerap dan susu getah ke sebuah pusat timbang getah di kampung berkenaan.

(sorang makcik baru pulang dari menoreh bersama satu plastic getah sekerap)



(Getah Sekerap ditimbang: 4 Kilo x RM2 sekilo = RM8)

Teruknya menoreh berpanas di bulan puasa hanya untuk dapatkan RM8 jumlahnya.

Campur dengan susu getah cair, dapatlah hampir RM20 untuk hari itu. Mengikut kata Makcik ini, dalam sebulan tolak hari hujan, biasanya boleh menoreh cuma dalm 15 hari. Makna kata, pendapatan kasar rata-rata penduduk di kampung ini dalam lingkungan RM300 sebulan – jauh melepasi tahap bawah garis kemiskinan NEGARA.

Untuk warga INTEL yang kami bawa masuk ke kg ini, tak semua mereka paham bab timbangan dan sukatan harga getah sekerap ini; malahan bukan saja tidak paham, yang tak pernah tengok susu getah dan biji getah pun ada. Saya lihat sendiri, seorang kakak berbaju biru INTEL dengan penuh semangat dok explain kat anak dia “Ha, inilah dia susu getah, bila kita toreh pokok getah ini, susu akan mengalir ke dalam pot bekas di bawah ini, bla bla bla. Ada seorang itu pula, orang dok sibuk angkat barang, dia dok sibuk ajar anak dia kutip biji getah. Saya rasa kedua-dua mereka ini macam saya juga – asal orang kampung, anak penoreh getah macam saya – perjalanan masuk ke kampung keluarga penoreh ini pastinya adalah sebuah nostalgia buat mereka.

Selain itu, ada beberapa gambar menarik yang sempat di-capture sepanjang perjalanan kami bersama INTEL ini.

(Seorang anak muda dengan beruk membonceng di belakang motornya, dengan golok terselit di pinggang – lambang kesinambungan sebuah tradisi yang masih belum menghilang)

(Ini pula gambar Pakcik sedang menjaja Ikan Pekasam atas basikal lama di bawah sebuah pohon kayu dipinggir tar masuk ke kampung berkenaan – murah ja, RM2 sebungkus – yg biasanya boleh mencecah harga RM5 di pasar pasar malam)

Bila balik rumah, baru saya terperasan, Pakcik ini bersama anaknya pernah menerima sumbangan Wargakilang dalam salah satu siri JJMS (Jln-Jln Masuk Sekolah) beberapa tahun yang lalu. Gambar beliau dan anaknya menerima sumbangan persediaan masuk sekolah anaknya dan juga barangan keperluan harian masih ada tersimpan di Labtop saya seperti di bawah:



Hidupnya masih belum berubah, hanya mengharapkan jualan pekasam dan asam keping (asam gelugor) yg tidak seberapa untuk kelansungan hidup anak-anak dan keluarganya. Alhamdulillah, saya difahamkan oleh cikgu Sujari (wakil kami di sebelah sini) bahawa Pakcik ini adalah antara yang termasuk ke dalam senarai penerima untuk kali ini.

Kesemua sekali, ada 30 keluarga yang menerima sumbangan secara terus daripada pihak INTEL, berbentuk barangan keperluan seharian sebagai persediaan menyambut aidilfitri dan juga sumbangan wang.


(Team INTEL bersama para penerima sumbangan bergambar ramai di hadapan rumah berlantai tanah)

Bagi pihak orang-orang kampung, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga di atas segala bantuan dan sumbangan yang pihak INTEL berikan.

Bagi pihak NGO Wargakilang pula, kami ingin merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih di atas kesudian pihak INTEL memberi kepercayaan kepada kami untuk membantu team CSR Intel melaksanakan misi korporat syarikat mereka ini.


Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, kami di NGO WARGAKILANG ini (berbaju oren dalam gambar di atas) bersedia untuk menjadi posmen, tukang bawa barang dan tukang pikul barang untuk disampaikan kepada orang-orang miskin.

Kami tak kisah sesiapa pun yang nak pasang banner, ambik gambar dan sebagainya; yang penting orang-orang susah dan keluarga miskin mendapat bantuan. Itu yang pentingnya.

Mana-mana perkumpulan/syarikat/organisasi yang berminat untuk melakukan aktiviti yang serupa, bolehlah hubungi pihak kami untuk perbincangan lanjut; tiada charge dikenakan – insyaallah di dunia ini FOC, tapi di Akhirat esok kami akan claim seperti yang dijanjikanNYA.

Sekian, moga ada manafaatnya kisah JJMK kami bersama INTEL di akhir Ramadhan ini. Pihak NGO Wargakilang ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua mereka yang mengikuti kisah-kisah JJMK kami selama ini. Maaf Zahir Bathin.

moniermatdin@yahoo.com
http://www.moniermatdin.blogspot.com
http://www.facebook/wargakilang

1 comment:

orangkasai said...

paklong jual pekasam tu, dulu juai penyapu, petai yg orang punya....makan komisyen sikit saja...orang kampung panggil dia, din bodo (maaf)...pernah zaman remajanya betapa sayangnya pada mak dia...dia beli aiskrim tangkai di Mahang, balik sampai sungai batu, habis cair aiskrim dia....tengok din ingat cerita pakcik kordi....syabas dia memang wajar dibantu