Monday, October 8, 2012

ROHINGYA: Perjuangan Seorang Mudir Pondok


Barangkali kerana berkat keikhlasan rakan-rakan yang sering bersama-sama kami di NGO WARGAKILANG dlm expedisi Jln-Jln Masuk Kg memberi sumbangan kpd orang-orang miskin agaknya, maka dalam suatu expedisi masuk kg dua tiga tahun yang lepas, Tuhan mentakdirkan kami untuk singgah dan berkenalan dengan Mudir sebuah pondok di pedalaman Sik Kedah.

Nama beliau Ustaz Ismail Mahmud, Mudir Pondok Bandar Hilir, Sik Kedah.

Kisah perjuangan beliau bersama beberapa orang lagi rakan Ustaznya mengorbankan kepentingan duniawi, mengasingkan diri tinggal di pondok pedalaman bersama-sama lebih drpd 300 orang anak muridnya ini, demi mempastikan kesinambungan system pengajian pondok tradisional yang diasaskan oleh para Sahabat (yang dikenali sebagai Ahli Suffah) di masjid Nabawi di zaman awal Hijrah Nabi SAW ini ada saya catatkan di bawah tajuk “Selangkah ke Alam Pondok” – ada melekat di google.com.

Sekali tu dalam satu program Jln-Jln Masuk Kg di daerah Sik, kami ajak Ustaz Ismail join sekali. Bila dia tengok sendiri macam mana modus operandi kami yang pastikan sumbangan beras, gula kopi dan barangan keperluan harian yg kawan-kawan bagi tu sampai terus ke sasaran – terus ke pelantar rumah org2 miskin dan susah itu, beliau terus jadi berminat dengan aktiviti kami. Lalu, pada tahun lepas, dengan kerjasama rakan-rakan di NGO Wargakilang, kami telah berjaya menyempurnakan aktiviti gotong royong di Pondok berkenaan, dan diikuti dengan majlis korban perdana pada tahun 2011 melibatkan 15 ekor lembu.

Setakat itu sajalah aktiviti kami bersama Ustaz Ismail ini, hinggalah baru-baru ini bila timbul isu penyembelihan ummat Islam di bumi Rohingnya.

Kami dapat panggilan dari Ustaz Ismail, dia minta nak pinjam baju NGO WARGAKILANG. Dia kata dia nak pi Rohingya, nak pi survey tengok apa yang boleh dibantu. Dia cakap, dia tak tau nak pi atas nama NGO apa, sebab WARGAKILANG antara dia kenal, dia minta kebenaran nak pi atas nama WARGAKILANG.

Kami yang memang berminat nak pi, tapi ikhlas habag memang tak berani nak pi ini rasa berbesar hati yang amat sangat bila beliau nak pi mewakili kami.

Lalu, pada bulan September 2012 yang lalu, Ustaz Ismail bertolak keluar dari Pondok beliau di pedalaman Sik Kedah itu terus ke Hadnyai, naik kapalterbang ke Chiangmai di Utara Thailand. Dari Chiangmai, bersama-sama dengan Ustaz Tarmizi dari MAPIM (TERAS) dengan dibantu oleh Ustaz Amin dari Pattani (Pengerusi Majlis Syura Thailand), depa naik Van perjalanan sejauh 500km ke kem pelarian Rohingya tidak jauh dari sempadan Thailand/Myammar di sebuah pekan kecil bernama Mesot.

Mesot adalah sebuah pekan kecil yang menempatkan ramai pelarian dari Rohingya, tapi kebanyakannya adalah pelarian yang terdahulu, bukan dari kumpulan yang kena sembelih baru-baru ini.

(Ustaz Ismail baju oren dan Ustaz Amin berbaju Melayu bersama wakil penduduk Islam Rohingya di Mesot)

Dalam taklimat yang disampaikan oleh penduduk Islam di Pusat Pendidikan Islam Rohingya di pekan Mesot ini, Ustaz Ismail dimaklumkan bahawa setiap hari dan hampir setiap jam ada ummat Islam Rohingya yang menjadi mangsa ethnic cleansing (pembunuhan kaum) di bumi Arakan di sebelah sempadan sana.

(Salah seorang pengiring Ustaz Ismail, orang Islam Rohingya sedang bercakap dengan ayahnya dari Arakan yang menalipon secara sembunyi-sembunyi memaklumkan sanak saudara mereka yang terkorban)

Tak puas hati agaknya sebab tak dapat lihat sendiri mangsa kekejaman Mymmar ini, lalu Ustaz Ismail dan kawan-kawannya terus himpit ke pintu sempadan Myammar yang menempatkan kumpulan pelarian Rohingya yang terbaru, iaitu kira-kira 100 km jauhnya dari pekan Mesot.

Dalam perjalanan ke sana, ada pick up truck yang dipercayai SB Myammar memantau pergerakan mereka. Berani depa ni, silap-silap kena tembak macam tu saja!

Tapi Alhamdulillah, tidak ada apa-apa yang berlaku kpd Ustaz Ismail dan rakan-rakannya. Namun begitu, misi Ustaz Ismail untuk melihat sendiri suasana kem pelarian di sebelah sempadan Myammar sana terbantut apabila mereka ditahan oleh beberapa orang Polis Thailand berhampiran pintu sempadan.


(Ustaz Amin, Ustaz Ismail dan Ustaz Tarmizi (MAPIM/TERAS) ditahan oleh sepasukan Polis sewaktu mereka cuba menghampiri pintu sempadan)

Lalu, perjalanan Perjalanan Ustaz Ismail dan rakan-rakannya berakhir di sini.

Bila balik mai ke Malaysia, Ustaz Ismail mai jumpa kami:

(Ustaz Ismail berserban - sedang memberi taklimat kpd AJK Wargakilang)

Ustaz habag kalau tak boleh masuk ikut sempadan Thailand, dia nak cuba pi ikut Bangladesh pula. Dia kata, dia dapat maklumat sahih bahawa di sebuah tempat bernama TEKNAF, di sempadan Bangladesh/Myammar terdapat ribuan pelarian terbaru Rohingya dari Arakan yang sedang diancam kebuluran. Dalam keadaan kekurangan khemah tempat tinggal, makanan dan perubatan ini, dimaklumkan setiap hari ada 20 orang MATI.

Kata Ustaz Ismail:

“Monier, ana rasa kita kena bantu depa ni, yang dah mati di bumi Arakan itu biaq lah depa mati, ini yang masih hidup ini, kita kena bantu dan selamatkan mereka. Ini tugas kita sebagai seorang Islam ini!!”

Semangat sungguh Ustaz Ismail ini, sajalah saya tanya dia, saya kata:

“Ustaz, saya duk dengar ustaz-ustaz yang mengajar kuliah di masjid-masjid itu, depa cakap kalau berlaku peperangan bukan di Negara kita , tugas mempertahankan ummat Islam adalah FARDU AIN untuk orang-orang Islam di sana saja, sedangkan ke atas kita hukumnya cumalah FARDU KIFAYAH. Jadi, dalam kes Rohingya ini, kenapa kita nak kena pulun sangat? – fardu kifayah saja, biaq depa saja lah buat”

Ustaz cakap:

“FARDU KIFAYAH itu kalau orang-orang Islam di sana masih mampu berjuang seperti di Palestine dan sebagainya, tapi di Rohingya ini senjata apa pun tak ada, hatta kalau nak sembelih lembu pun kena pi BALAI POLIS, isi borang ambik Pisau, lepas sembelih kena serah balik.”

Ustaz kata: Kita bukan nak pi perang, nak pi bagi bantuan kemanusian di kem pelarian itu saja, tak kan tak boleh kot.

Lagi pun, kata Ustaz Ismail, Ulamak Muktabar Dunia, Al-Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaili telah pun mengeluarkan Fatwa Terkini yang mengatakan bahawa HUKUM membantu ummat Islam Rohingya adalah FARDU AIN ke atas setiap ummat Islam di muka bumi ini.

Dalam Hadith Nabi SAW pun ada kata:

“Sesiapa yang tidak mengambil berat berkenaan urusan Ummat, maka dia bukanlah di kalangan ummatku”

Ha teruk tu kalau di Akhirat nanti Nabi tak mengaku ummat, jenuh duk sesat di Padang Masyar.

Penutup:
Seperti yang saya tulis di awal cerita tadi, Ustaz Ismail adalah seorang Mudir dari sebuah pondok tradisional yang warisannya berakar umbi ke zaman Ahli Suffah di zaman awal Hijrah Nabi SAW dan para sahabat.

Kisah Ahli Suffah (para sahabat yang meninggalkan kesenangan hidup di Mekah berhijrah ke Madinah, hidup dalam kemiskinan, tinggal di pinggir masjid berjihad menjaga dan mengawal rumah-rumah Nabi SAW, menuntut ilmu terus dari Nabi dan menjadi penghafal hadith Nabi SAW) ini ada disebutkan di dalam Al-Quran, firmah Allah SWT yang bermaksud:

(Berinfaqlah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh Jihad) di Jalan Allah.; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang dengan secara mendesak; dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui “ – [Al-Baqarah ayat 273]

Pada 23 hb October 2012 ini, Ustaz Ismail nak pi bantu Rohingya lagi. Kali ini beliau akan bertolak ke Teknaf, kem pelarian Rohingnya di sempadan Bangladesh/Myammar iaitu kem yang terdekat dengan bumi Arakan. Misi Ustaz Ismail bukanlah hendak turun berperang tetapi untuk menghulurkan bantuan kemanusian kepada mereka yang masih bernafas di kem pelarian sana, yang kini sedang diancam wabak kebuluran.

Seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 273 di atas, Ustaz Ismail tidak meminta-minta kerana ianya bukanlah sifat pewaris Ahli Suffah seperti beliau, cuma sanya kami di NGO Wargakilang saja yang teringin nak bantu beliau, tapi kami pun tak ada dana, lalu berkesempatan di sini kami ingin memohon jasa baik sesiapa yang ingin membantu misi Ustaz Ismail ini, bolehlah hubungi beliau sendiri di talian 013-4884814. Kami dimaklumkan beliau akan ke sana bersama-sama dengan sahabat-sahabatnya dari NGO MAPIM/TERAS. Boleh hubungi beliau untuk maklumat akaun dan sebagainya.

Moga sedikit bantuan kita ini akan dicatat sebagai balasan PAHALA yang berkekalan di SANA kelak, di hari yang tiada apa yang mampu membantu kita melainkan amal kerja baik kita di muka bumi ini.

Sekian.
moniermatdin@yahoo.com
9.10.12
http://www.moniermatdin.blogspot.com


No comments: