Tuesday, April 9, 2013

Pondok Mat Nahu: Siap Juga Akhirnya!!


Barangkali, mungkin kerana berkat keikhlasan kawan-kawan yang selalu ikut kami, NGO Wargakilang masuk kampung bagi bantuan kepada org2 miskin agaknya, maka di atas cahaya keikhlasan itu, Allah SWT membuka lorong untuk kami bertemu dengan para ghuraba yang zuhud mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT; para mukorrobun akhir zaman yang menghabiskan usia muda mereka menuntut ilmu, mengaji dan menadah kitab di pondok-pondok terpinggir, nun jauh di ceruk kampung - jauh dari hiruk pikuk kota raya, dan juga jauh dari signal celcom/maxis/digi dan sekutu-sekutunya.


Suasana yang tenang dan damai di sini membuatkan mereka betul-betul dapat kusyuk dan memberi sepenuh tumpuan mendalami ilmu-ilmu agama melalui sistem pengajian pondok tradisional, yang susur galurnya bermula di serambi Masjid Nabawi di zaman Rasulullah SAW ini.


Kisah perjalanan kami ini ada saya catatkan di link yang berikut sebelum ini:
http://moniermatdin.blogspot.com/2011/06/jln-jln-masuk-kg-pre-ramadhan.html

Kami merasa bertuah kerana diberi peluang untuk berkenalan dengan sebahagian daripada para ghuraba ini; dan seterusnya diberi keizinan untuk menyumbangkan sedikit bakti bagi membaiki dan membaik pulih madrasah utama yang juga merupakan rumah Mudirnya ini.

Alhamdulillah,dengan berkat usaha rakan-rakan di NGO Wargakilang, yang dikepalai oleh Sdra Aznee dari kilang INTEL, beserta sokongan dan sumbangan yang tidak berbelah bahagi daripada kawan-kawan di alam siber, yang disalur terus kepada akaun Pondok ini, akhirnya pada bulan April 2013, madrasah kayu yang dulunya berlantai dan berdinding papan dengan bumbung zink karat berlubang sana sini, hari ini sudah pun jauh berubah berbanding asalnya.

(Saya sedang memberi ceramah motivasi kepada para penuntut pondok ini - dalam Madrasah Kayu yang berbahang panas berbumbung atap zink)



(Suasana waktu solat Zohor dalam Dewan Solat yang asal)



(Dewan Solat sedang dalam prosess baik pulih)



(Dewan Solat yang baru berlantai tiles, berdinding simen dan bersiling, alhamdulillah sedikit selesa berbanding yang asal)



(Dewan Solat tambahan / extension)

Melihat tersergamnya Dewan Solat yang baru ini yang juga merupakan satu-satunya bilik kuliah utama untuk penuntut di sini menadah kitab, saya teringat kata-kata sdra Aznee dalam perjalanan pulang daripada salah satu lawatan susulan kami ke Pondok Tuan Guru Hj Mat Nahu ini. Waktu kami ke sana, Ustaz Kamil yang merupakan Mudir Pondok ini ada bagi tazkirah buat kami-kami semua. Kata Ustaz:

“Barang siapa yang memberi sumbangan sama ada dlm bentuk tenaga/kudrat atau pun harta untuk kerja buat di jalan Allah ini (pondok pengajian), dlm kitab ada cakap, di Akhirat kelak Allah SWT akan menyediakan MAHLIGAI untuk mereka ini”

Aznee, yang ber-background pure secular dari University of Manchester, United Kingdom ini habag kat saya dalam kereta:

“Ish, aku tak pernah tau pun kata kalau kita tolong buat pondok/surau/masjid ini Tuhan akan sediakan MAHLIGAI di Akhirat kelak – AKU TOLONG DEPA SEBAB AKU KESIAN JA!!”

Ha ha ha – saya gelak saja.

(Gambar Aznee di tangga Madrasah Lama)


(Aznee di pintu Madrasah Baru – hampir siap)

Itu dulu, mula-mula kami terserempak bertemu tidak sengaja dengan Pondok TG Haji Mat Nahu di pedalaman Beris, Sik Kedah dalam misi JJMK (Jln-Jln Masuk Kg) kami itu. Hari ini, Aznee yang saya kenali sudah pun jauh berubah – lebih hebat drpd kebanyakan kami2 di Wargakilang ini – kami diberitahu, sekarang ini sering bersama Jemaah di Surau di Tamannya, mengaji, menadah kitab dan menghadiri kuliah saban malam.

Alhamdulillah, mungkin barakah daripada kerjabuat beliau yang tak jemu-jemu pi follow up projek baik pulih Pondok Mat Nahu saban minggu ini (3 JAM pergi balik dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah), maka hari ini Allah SWT bukakan pintu Hidayah untuk sahabat kami ini, menjadi antara orang yang paling hebat amalan agamanya berbanding kami semua.

DOA beliau antara yang paling mudah dimakbulkan di antara kami-kami di Wargakilang ini; waktu anak saya nak ambik SPM hari itu pun, DOA dari beliau juga yang saya unjurkan. Alhamdulillah, kebetulan barangkali - anak saya lulus cemerlang, SPM 9A (8A Plus). Terima kasih Tuhan sebab menghantar manusia-manusia seperti Aznee ini kepada kami; moga selepas ini lebih ramai lagi insan seperti beliau akan bersama kami di NGO Wargakilang ini.

Akhir kata, mewakili rakan-rakan di Wargakilang, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua para penyumbang yang membantu menjayakan projek baik pulih pondok TG Hj Mat Nahu ini. Kami tahu, rata-rata yang menyumbang ini adalah insan-insan biasa, yang kerja makan gaji macam kami juga – berdasarkan buku akaun bank Pondok, yang sumbangannya berupa cash kecik-kecik, RM10, RM20 dan sebagainya; sorang sikit akhirnya mencecah ratusan ribu ringgit. Ustaz Kamil mengucapkan ribuan tkasih yang tidak terhingga kepada tuan/puan semua.

(Team AJK Wargakilang bersama Ustaz Kamil di Saf Hadapan Dewan Solat Baru Pondok Tuan Guru Hj Mat Nahu)

Terima kasih semua, moga kerja buat kita ini ada barakahnya – dan moga kita semua yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung dalam pembinaan semula pondok ini akan dianugerahkan dengan Urusan Dunia Yg Dipermudahkan, dan di Akhirat pula dikurniakan dengan hadiah Mahligai seperti yang dijanjikan, Insyaallah.


moniermatdin@yahoo.com
9.4.13
http://www.moniermatdin.blogspot.com



No comments: