Wednesday, May 29, 2013

WARGAKILANG: Kisah Budak Kempunan Tak Dpt Basikal


Alhamdulillah, setelah beberapa lama dirancang, di weekend yang lalu, kami sekali lagi diberi masa dan kelapangan untuk menyempurnakan satu lagi program JJMK (Jln-Jln Masuk Kg) NGO Wargakilang, kali ini bersama team alumni ex-MRSM Kulim (ANSARAku) untuk menyampaikan sumbangan basikal kepada pelajar-pelajar di desa pedalaman dan mereka dari keluarga yang memerlukan.

Di awal pagi 25 Mei itu kami bawakan team ANSARAku, yang rata-ratanya turun dari KL, menjelajahi permatang bendang, yang muat cukup-cukup satu kereta, menuju ke rumah seorang sahabat, sebagai pusat agihan – di sebuah perkampungan sawah bendang di mukim Sidam/Padang Serai Kedah Darul Aman.

(13 buah kereta semuanya, termasuk dua buah kereta team Wargakilang)

Mewakili orang-orang kampung, kami amat berbesar hati menerima kunjungan team ANSARAku yang bukan calang-calang orang ini, kami dimaklumkan ada yang berpangkat besar sebagai Director di sektor Perbankan, Pengarah R&D, Pengurus Besar GLC, Pensyarah University, Guru Sekolah, CEO, Businessman, Kontraktor, Consultant dan sebagainya.

(Sdra Anuar Omar, selaku Presiden ANSARAku memulakan majlis sumbangan. Kami di Wargakilang hanyalah sebagai tukang tunjuk jalan dan menyusun atur majlis sumbangan)

(Photo dari lensa seorang sahabat: seolah-olah anak-anak ini sedang berlumba-lumba mengayuh pulang – tidak sabar sabar mahu menunjukkan basikal baru kepada adik-adik dan bonda tersayang)

Perjalanan seterusnya membawa kami ke sebuah perkampungan penoreh getah di kaki Gunung Inas bersempadan Perak, nun jauh di pedalaman daerah Baling, Kedah.

(Bagi mereka yang sesekali masuk kg, perjalanan sebegini amat mengasyikkan)


(Salah sebuah kereta “mewah” dari Kuala Lumpur sedang mencuba melintas titi)

Kawasan perkampungan ini teramat istimewa buat saya kerana tak jauh dari situ, tak sampai pun 3 km rasanya, di situlah terletaknya kampung halaman, tanah tumpah darah saya. Di kawasan perkampungan penoreh getah, di bumi Baling inilah saya dilahirkan, berpuluh tahun yang silam.

Dalam keadaan harga getah yang terus merudum mencecah RM2.70 sekilo; basikal kanak-kanak yang berharga RM200 ke RM300 ini adalah sesuatu yang luxury (brg mewah) buat anak-anak ini. Ibu dan ayah mereka lebih rela menghantar anak-anak ke sekolah dengan motosikal menoreh getah – bersesak sesak dua tiga orang dan kadang-kadang empat orang satu motosikal – daripada menghabiskan wang dua tiga ratus itu untuk membeli basikal buat anak-anak ke sekolah.

(Anak-anak ini begitu girang sekali, membawa pulang basikal baru masing-masing, di celah-celah jalan hutan getah, tempat di mana ibu dan ayah mereka mencari rezeki)

Saya pernah menerima aduan/mohon bantuan daripada seorang guru sekolah di Baling, Kedah menceritakan kpd saya kisah seorang Ibu Tunggal yang awal-awal pagi terpaksa mengayuh basikal menghantar anak ke sekolah, kemudian kayuh balik lebih 1km untuk pergi menoreh getah. Alhamdulillah, adik malang itu sudah ada insan yang belikan basikal baru untuknya.

(Saya difahamkan oleh sahabat saya di kampung bahawa ada di antara penerima ini dari keluarga Ibu Tunggal – terima kasih ANSARAku dan terima kasih kepada semua yang membantu)

Seterusnya kami menuju ke sebuah lagi perkampungan penoreh getah di kampung Bukit Ndoi, terletak di sempadan daerah Baling dan daerah Sik, Kedah. Di situ, majlis sumbangan diteruskan lagi untuk 20 orang penerimanya.

Pada sebelah petangnya pula, selepas family gathering team ANSARAku di Pantai Merdeka, kami bawa mereka ke hentian terakhir – di Sek Keb Rantau Panjang, Kuala Muda Kedah. Kesemua sekali ada 29 orang pelajar dari keluarga susah dan anak-anak yatim yang termasuk dalam list penerimanya.

(Majlis penyerahan basikal di sini lebih teratur berbanding majlis yang kami uruskan di dalam hutan getah dan di tepi petak bendang pagi tadi – kerana majlis di sini diuruskan secara formal oleh pihak Guru Sekolah)

Apa-apa pun, padang kenangan saya tak dapat melupakan kelibat wajah sedih seorang anak kecil sewaktu di perkampungan penoreh getah di Baling, pagi tadi. Selepas habis majlis, ada seorang budak dlm usia 12 tahun datang berjumpa saya bertanya:

“Pakcik, SIKAL ada tak lagi Pakcik?”

Pasal apa?

“Adik saya – dia cemburu, Dia tak dapat, SIKAL ada lagi ka Pakcik?”

Bila saya tanya mana adik dia, budak ni tunjuk kat saya seorang budak yang sedang berduka - sedih tersandar di banir pokok getah di hujung sana. Saya panggil budak itu mai, bila tanya dia pasal apa, dia kata dia pun nak basikal juga.

(Wajah seorang anak kecil – yang kempunan tak dapat basikal)

Deep inside, saya tak sampai hati bila melihat wajah sayu budak ini – sebab ianya terus mengingatkan saya kepada kenangan pahit sewaktu saya kecil-kecil dulu; saya kempunan teringin nak dapat basikal dari darjah satu hinggalah habis darjah 6, dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke MRSM Kulim.

Waktu di sekolah rendah, hampir sebaya si anak kecil ini - saya tak punyai basikal, pergi sekolah jalan kaki saja – teringin dan amat amat teringin sangat-sangat nak dapat basikal, tapi tak dapat. Saya masih ingat lagi – saya pernah hantar peraduan apa entah dalam majalah UTUSAN PELAJAR waktu itu, di mana 3 hadiah utama merupakan sebuah basikal jenama CHOPPER RALEIGH kalau tak silap.

Saya menunggu dan terus menunggu basikal CHOPPER RALEIGH tersebut, yang tidak pernah kunjung tiba hinggalah ke hari ini. Awat la team ANSARAku dan NGO WARGAKILANG tak bawa mai basikal sebuah kat saya di tahun 1970an dulu?

(Kerana itu, saya mohon jasabaik team ANSARAku minta ambik sebuah basikal budget untuk lokasi lain dan diberi kepada anak kecil ini, nanti boleh ganti lain)

Melihat jernihnya kelopak mata si anak kecil ini, seronok tak sangga dapat basikal walaupun tiada nama dalam senarai, dan bila kami dengar dia berjanji “Saya akan belajar rajin-rajin”, kami merasakan penat lelah kami mengikut belakang lori menghantar 122 buah basikal ke beberapa lokasi yang berbeda, bermula jam 3 petang hari sebelumnya, dan berakhir kurang hampir jam 12 tengah malam ini, memang amat berbaloi.

(Sdra Aznee, Senior Engineer dari kilang INTEL cakap, escort lori basikal depan belakang di tengah-tengah malam buta, masuk ke kg-kg ini, rasa macam escort Cargo IC/Chips kilang INTEL lah pula)

Ya, walau pun dalam lori ini, harganya bukanlah bernilai juta-juta dollar seperti Cargo IC dan Chips INTEL, tetapi nilainya amat-amat berharga. Apatah lagi untuk si anak kecik yang kempunan tak dapat basikal tadi. Sekurang-kurangnya, beliau tidak perlu hidup dalam kempunan – tak perlu terkilan sehingga berpuluh puluh tahun selepas itu, terperangkap dalam diri orang dewasa seperti saya.

Terima kasih kepada ANSARAku dan para penyumbang, terima kasih kepada rakan-rakan di NGO WARGAKILANG yang tak reti erti penat dan lelah menyusun atur program ini sepanjang perjalanan.

Moga kerja buat kita ini ada manafaatnya buat semua.

Mana-mana ALUMNI yang berminat nak lakukan aktiviti yang serupa, kami di NGO Wargakilang sedia membantu, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.

Sekian.

moniermatdin@yahoo.com
29.5.13
http://www.moniermatdin.blogspot.com
http://www.facebook.com/wargakilang



4 comments:

ieda said...

sangat menyentuh hati...teringat kesukaran hidup kita di masa2 yg lepas....
so proud with what u & the group are doing....kami di NARC juga turut melakukan perkara yg sama cuma skopya agak kecil..moga usaha kita dapat membahagiakan mereka..

Ramlan said...

Kalau nak join camana?

Mohd Monier Bin Mat Din said...

Join fb "wargakilang" atau pun boleh jadual program jjmk di website www.wargakilang.com utk aktiviti terkini. Tkasih.

Laila KPAS said...

Terharu betul...dulu memang pernah melalui nya...

Saya dah link blog ini dengan blog saya agar lebih ramai mengetahui nya..

http://www.clubkpas.blogspot.com/p/jalan-pintas-anda.html