Sunday, May 19, 2013

WARGAKILANG: Jln-Jln Masuk Kg Selepas PRU


Alhamdulillah, program amal NGO Wargakilang Jln-Jln Masuk Kampung (JJMK) sempena cuti Hari Buruh di pedalaman Selama Perak, yang ditunda kerana pilihanraya, akhirnya dapat juga disempurnakan pada hari Sabtu yang lalu.


(Program bermula seawal jam 8.00 pagi, berkumpul meng-agihkan barangan untuk 40 keluarga)

Sambutan agak menggalakkan, kesemua sekali ada 53 buah kenderaan berbagai jenis bersama sekumpulan Marshal Bermotosikal menyelia dan memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perjalanan.

(Seperti biasa, barang2 sumbangan disusun di atas tanah di bawah rumah org kampung, tanpa meja kerusi, sofa dan khemah VIP)

(Antara barang-barang sumbangan untuk setiap keluarga)

Banyak sekali brg2 sumbangan yang kawan-kawan bagi, bila saya tanya Pakcik Shafie, salah seorang penerima yg kerja menoreh getah, brg2 ini berapa lama boleh bertahan. Dia cakap, dlm keadaan harga getah sekerap sekarang tengah merudum jatuh ke RM2.70 sekilo ini, dengan musim panas terik daun getah gugur susu kurang, barang-barang ini mampu memberi keluarganya makan sekurang-kurangnya untuk 3 bulan akan datang. Alhamdulillah.

Yang seorang itu pula cakap, enam tujuh kampit beras ini sekejap saja habis bila diagih-agihkan kepada Ibunya, keluarga adiknya, abang, keluarga dan jiran terdekat. Alhamdulillah, ramai yang menumpang manafaat.

Antara perjalanan yang tidak dapat dilupakan – yang disebut oleh ramai peserta sebagai Jungle Tracking ialah perjalanan ke rumah Paksu Mat, kurang hampir 1 km dari jalan besar. Paksu Mat, isteri dan anak perempuannya (10 tahun) tinggal menetap nun jauh di ceruk kampung dlm hutan getah/kelapa sawit, tinggal menumpang di stor Tauke Cina, tanpa letrik, tanpa bekalan air, hanya mengharapkan tadahan hujan untuk air minuman dan telaga keruh berlumpur untuk mandian.

Kami di NGO Wargakilang amat berbesar hati sekali, kerana kali ini turut bersama kami ialah Rektor UiTM Permatang Pauh, para pensyarah dan mahasiswa.

(Prof Madya Dr Mohd Zaki Abdullah, Rektor UiTM, berbaju kemeja lengan pendek petak hitam kelabu sedang mengusung beras, meredah semak dan denai bersama para peserta yang lain)

Kami difahamkan turut bersama kami juga ialah seorang Doktor dari Kulim, yang berminat untuk mengikuti dari dekat program amal masuk kg ini. Ada juga yang datang dari Kelantan, KL dan juga turun mai dari Perlis. Ramai juga yang bawa anak-anak sekali.

(Si Anak Kecil diajar meniti TITI – belajar erti hidup di desa pedalaman)

Sebetulnya, kami risau juga dengan program JJMK yang pertama selepas PRU ini, kerana semua orang masih panas dengan demam P.Raya, kami tak dapat nak ramalkan sambutan peserta dan juga para penerima.

Kerisauan kami itu menjadi nyata, bila kami dimaklumkan majlis penyerahan di rumah-rumah org kampung yang sudah dikenalpasti,, yang sudah kami rancangkan 3 bulan sebelum P.Raya berhadapan dengan sedikit masalah. Kami diberitahu, selepas PRU, penduduk-penduduk di kawasan ini berpecah bagai nak rak. Kumpulan parti X sudah memutuskan akan boikot kumpulan parti Y dalam apa jua urusan – kenduri kendara sakit demam hatta bab-bab kerja amal ini – untuk selama 2 tahun. Yang parti Y pula, tak mau terima sebarang bantuan/sumbangan yang melalui orang-orang parti X.

Habislah kami, sebab setiap kampung yang kami masuk, mesti ada antara contacts kami itu sama ada parti X atau pun parti Y. Kami tidak peduli mana parti, asalkan brg2 tu sampai kepada keluarga susah, itu saja matlamat kami. Di dua tempat yang kami singgah, ada beberapa keluarga yang tidak datang; selepas majlis kami selesaikan sumbangan itu off-line.

Adalah menjadi prinsip kami di NGO Wargakilang menghormati pegangan politik dan perbezaan pendapat setiap orang. Kami percaya, walaupun antara kita punya pendirian politik yang berbeda, namun bila mai tang bab-bab kerja amal ini, insyaallah untuk seketika kita mampu bekerjasama.

Gambar di bawah ini adalah buktinya. Sengaja saya jemput sdra Shukri dan sdra Ruslizan untuk sama-sama menyampaikan sumbangan kepada Paksu Mat ini.

(Di zaman Facebook ini, fahaman politik kita terdedah kepada umum, walaupun kedua-dua orang sahabat kami ini memakai baju WARGAKILANG, dan sama-sama mengusung beras ke rumah Paksu Mat ini, tetapi kalau tuan/puan cek FB mereka, kedua orang sahabat kami ini adalah dari dua buah perkumpulan POLITIK org Melayu yang berbeda)

Tetapi, hari ini mereka berdua mampu bersatu dan bekerjasama atas nama kerja-kerja kebajikan, lillah hi taala untuk membantu anak-anak bangsa.

Kami di NGO Wargakilang tidak meminta mereka ketepikan fahaman politik mereka, kerana seruan seperti itu adalah terlalu “cliché”, terlalu ideal. Biarlah mereka terus dengan fahaman politik masing-masing, asalkan mereka boleh bersetuju di atas kerja buat amal kebajikan seperti ini.

Ingatlah, tokoh yang amat kami sanjungi iaitu Prof Diraja Ungku Aziz sampai hari ini masih berpegang teguh kepada pendapatnya bahawa: “Apa pun orang kata, kemiskinan masih tetap menjadi agenda utama permasalahan bangsa”.

Lihatlah bukti yang kami terima melalui MMS ini.

(Gambar seorang Pak Tua, hidup terbiar seorang diri, di penjuru inilah beliau masak, makan dan tidur – sebuah realiti hidup yang terselindung daripada kita semua)

Berbekalkan gambar MMS ini, kami ke sana selepas habis program Jln-Jln Masuk Kg tadi. Kali ini hanya team AJK Wargakilang sahaja yang ke sana – kami sendiri tak pasti apa yang menanti, cumanya berbekalkan maklumat daripada foto MMS ini,  kami sediakan sedikit brg2 seperti kain baju, kopiah, sandal, tikar, tilam, bantal, dapur gas, meja dll.

(Inilah gobok buruk yang didiami oleh Pak Tua ini)

(Kami decide on the spot buat gotong royong bersihkan ruang dapur rumahnya ini)

Kemudian kami alaskan tikar atas lantai tanah itu, pasang almari plastik, set up meja dan dapur gas serta pakaikan beliau satu set persalinan baru, dari sandal kain pelikat, baju melayu, butang baju melayu hinggalah kopiah – semuanya baru.

(Gembira sungguh Pak Tua ini dengan pakaian baru dan “rumah baru” nya ini)

Sewaktu saya memakaikan Butang Baju Melayu ke bajunya, saya berdiri begitu hampir dengan beliau – terasa seperti memakaikan butang baju melayu untuk ayah saya sendiri – yang sudah pergi mengadap Illahi berbelas tahun yang silam. Sesiapa yang masih ada ayah dan ibu, sayangi dan belailah mereka sementara ada.

(Rumah ini tiada letrik, menjelang maghrib kami minta beliau nyalakan api kerana suasana dah mulai gelap)

Malangnya lilin sudah habis dan minyak tanah pun pun cuma tinggal sedikit – 30 minit kemudian, pelita minyak tanah ini pun padam. Kami bagi torchlite untuk beliau gunakan.

(Kami tinggalkan Pak Tua ini dalam kegelapan malam, tanpa lilin dan minyak tanah sebagai pelita untuk dinyalakan)

Sesekali kami nampak kelibat cahaya lampu suluh (torchlite) yg kami berikan itu sekejap terang sekejap padam antara tingkap rumahnya yang terus terbuka sepanjang malam.


Imej Pak Tua tersenyum riang dengan kopiah, baju melayu, kain pelikat dan sandal barunya ini, terpahat di padang ingatan kami, menjadi sebuah kenang-kenangan yang tidak akan kami lupakan sampai bila-bila. Amat manis kenangan perjalanan kami kali ini.

Pun begitu, terasa sedih sikit bila saya dengar dia cerita, kalau nak beli minyak tanah, terpaksa kena jalan kaki lebih kurang 2 batu ke pekan terdekat. Bila saya tanya, boleh kayuh basikal ka? Dia kata, boleh!! – insyaallah kami akan ke sana lagi - kali ini nak bawakan beliau sebuah basikal baru, insyaallah.

Sekian. Moga kisah perjalanan JJMK kami kali ini mampu menjadi iktibar buat semua. Ada masa meh la join kami di program yang lain pula.

moniermatdin@yahoo.com
19.5.13
http://www.moniermatdin.blogspot.com
http://www.facebook.com/wargakilang

3 comments:

AQUARIUSSAL said...

Terima kasih atas maklumat & update JJMK terkini, dapat juga kami yg tak dapat join baca sedikit sebanyak tentang aktiviti tersebut. Syabas juga pada saudara Shukri & Ruslizan berjaya melupakan fahaman politik buat seketika bagi beramal.

Bila nak beli basikal utk Pak Tua? Please, please, please let me know so I can also donate. Saya dah terbayang sebuah basikal yang ada bakul di depan / belakang utk senang dia angkat barang dari kedai. :)

Kekuda said...

Salam,
saya cadangkan supaya pihak tuan boleh pertimbangkan untuk sediakan lampu LED solar untuk mereka yg tiada bekalan elektrik macam ni. siang charge, malam boleh pasang. alat ni dah keluar market.

Mohd Monier said...

Tkash di atas cadangan, insyaallah akan dipertimbangkan. Berkenaan sponsor basikal, alhamdulillah ada kwn nak belikan. Tq.