Monday, July 16, 2012

WARGAKILANG: JJMK Ramadhan 2012

Sedar tak sedar, sekali lagi pintu Ramadhan menggamit kita.

Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi kami di NGO Wargakilang diberi kesempatan, masa dan kelapangan untuk masuk ke kg-kg di pedalaman mencari golongan asnaf yang layak diberi sumbangan.

Misi kami selain mengenal pasti keluarga yang bakal kami kunjungi dalam expedisi JJMK (Jln-Jln Masuk Kg) Ramadhan pada 4 Aug nanti, kami juga membawa misi seorang sahabat yang diamanahkan oleh kilang INTEL untuk mengenal pasti 40 keluarga yg layak menerima bantuan sempena 40 tahun anniversary INTEL Malaysia, juga bakal diadakan pada bulan puasa ini, iaitu pada tarikh 11 Aug 2012. Kami di WARGAKILANG amat berasa bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pihak INTEL untuk tujuan ini.

Maka itu, di beberapa weekend yang berkelapangan sebelum Ramadhan 2012 ini, kami telah masuk ke beberapa buah kampung di daerah Kulim/Bandar Bharu, Baling, Sik dan juga Padang Terap di Negeri Kedah Darul Aman.

Saya teringat pada minggu pertama kami mulakan riki/pencarian kami ini; waktu melalui beberapa sekatan Road-Block jalan raya (kami dimaklumkan ada kes pergaduhan & demonstrasi di situ); dan secara kebetulan kami semua memakai T-Shirt Oren bertulis NGO Wargakilang, kenderaan kami telah ditahan buat seketika. Bila Polis itu tanya kami nak pi mana, bila kami habag kata kami nak masuk kg cari orang miskin untuk terima sumbangan ramadhan dari kilang-kilang bla bla bla, Polis itu tanya:

“Ada ka lagi orang-orang Miskin kat kawasan ini?”

Bila kami cerita, mcm-mcm jenis orang miskin yang kami dah jumpa – rumah atap rumbia, dinding buluh, lantai tanah, tak ada letrik, masih pakai pelita ayam, tak ada beras nak makan dll; bro Polis ini kata:

“Hish, ada lagi no orang-orang macam tu? – Bila la isu ini (kemiskinan) nak selesai?”

Kami senyum saja, tak kata apa. Lepas bagi salam, kami terus per-deras kereta masuk ke kampung-kampung. Sepanjang perjalanan itu, kami pakat bersembang sesama kami akan kata-kata bro Polis ini.

Bukan bab basmi kemiskinan yang kami nak hi-lite di sini – itu tugas pihak-pihak berkenaan yang diberi amanah masing-masing. Kami di sini cuma nak buka peluang kpd sahabat-sahabat yang nak kutip pahala berlipat kali ganda di bulan Ramadhan ini, kalau ada masa 4 Aug 2012 ini, mai lah ikut kami pi bagi bantuan kepada lebih daripada 70 buah keluarga yg sudah dikenalpasti.

Kalau nak ikut tak payah bawa sampai 70 kampit beras, bawa 5 kampit pun ok dah. Nanti kawan-kawan lain pakat bawa sorang sikit, nanti kita susun bagi setiap keluarga dapat 1 kampit beras paling kurang. Macam tu juga dengan barangan keperluan harian yang lain, gula tepung sardin minyak dll, bawa mai la sorang sikit, kita pakat kongsi-kongsi.

Antara keluarga yang kami temui adalah seperti dalam gambar-gambar di bawah.

1. Kalau orang kata rumah berdinding buluh mampu melambangkan kemiskinan, ini adalah antara rumah-rumah berdinding buluh yang kami temui:


(Rumah berdinding & berlantai buluh dan bakal ber-atap bertam sedang dalam pembinaan, dijangka siap menjelang Raya nanti.)

(Pandangan dari belakang, bahagian dapur sudah pun siap)

2. Kalaulah rumah pusaka / rumah lama yang dah hampir nak gheban (bahasa utara: runtuh) masih dihuni orang boleh dikaitkan dengan kemiskinan, tengoklah sendiri rumah di bawah ini, tunggu masa saja nak gheban.

(Antara rumah yg bakal dilawati pada 4hb Aug nanti)

3. Kalaulah jemoran (pelantar) buluh & dapur kayu boleh dikaitkan dengan kedaifan, tengoklah pula gambar dapur kayu dan pelantar buluh ini - Aznee, sahabat saya yang jadi cameraman dengan badan berisi dia itu terketar-ketar nak panjat rumah ini nak ambik gambar; takut pelantar buluh tu runtuh:

(Tak sangka, masih ada lagi yang menggunakan dapur kayu dan berpelantar buluh)

4. Kalaulah PERIGI/TELAGA sebagai sumber utama air mampu melambangkankesusahan sesebuah keluarga; dalam perjalanan kami kali ini kami telah temui beberapa buah keluarga yang masih mengharapkan perigi/telaga sebagai punca utama sumber air untuk anak-anak mereka.

(Untuk mereka yg berasal dari kampung, telaga dan perigi mampu mengembalikan nostalgia lama)

5. Kalaulah rumah tanpa simen, tanpa tikar, hanya berlantaikan TANAH (sama luar dan dalam rumah) mampu menjadi sebagai perlambangan sebuah kemiskinan tegar di tahap gaban, maka rumah yang kami kunjungi di bawah ini mampu menceritakan segala-galanya:

(Bagi 3 orang anak kecil ini, bermain tanah adalah mainan harian mereka, luar rumah tanah, dalam rumah pun berlantai tanah. Bila malam, tongkat kayu yang hold atap zink itu akan diturunkan, lalu awning atap zink ini berganti menjadi dinding - keluarga ini layak menerima ZAKAT FITRAH!!)

6. Kalaulah bekas Reban Ayam yang di-modify jadi rumah orang mampu dikaitkan dengan kemiskinan, rumah di bawah ini mungkin boleh dijadikan renungan:

(Rumah bersaiz 20x10 ini ini asalnya reban ayam/tempat proses ayam, setelah dimodify lebih kurang, sekarang dihuni oleh sepasang suami isteri dan 6 orang anak-anaknya, semua perempuan. Yang sulung berumur 11 tahun. Walaupun sempit, tapi susun atur dalam rumah ini begitu kemas sekali - Rumahku Syurgaku)

7. Yang sedihnya, 6 orang anak-anak perempuan tersebut terpaksa hidup dalam kesempitan yang amat sangat bila sampai waktu nak ke tandas - kerana di rumah mereka tidak ada tandas. Di bawah ini adalah kawasan tandas mereka:


(Tidak saya sangka masih ada lagi keluarga yang masih menggunakan tandas pusing (pusing keliling pokok getah nak elak drpd org nampak) seperti sewaktu zaman saya kecik-kecik dulu)
 
8. Akhir sekali, kalaulah kisah orang tak ada beras nak makan, kemudian terpaksa hutang kawan RM10 pi beli beras 2 kilo (RM1.90 sekilo) dan sedikit lauk pauk nak bagi anak-anak makan, boleh dijadikan iktibar, maka biarlah kisah Pak Chin yang saya tulis tempoh hari  - yg hidup dalam kemiskinan apabila matanya jadi kelam - menjadi tazkirah bersama untuk ramadhan kali ini. 

(Miskin sungguh Pak Chin; rumah sewa ihsan tuan rumah, sudah 10 bulan x bayar, letrik tarik dari dewan orang ramai berdekatan, mandi/basuh guna air telaga, air minum isteri pergi tadah paip di rumah2 jiran. Anak 3 orang, kini tinggal 2 - seorang lagi bagi orang bela. Waktu kami berkunjung waktu malam pergi agihkan beras fidyah yang kwn2 bagi, Pak Chin ada di Surau. Anak2 nya pergi panggil Pak Chin balik. Walaupun miskin dan melarat - tapi Pak Chin tetap tak lupa Tuhan!!)


Walaupun diuji dengan mata sebelah tak nampak, dan sebelah lagi jadi kelam bila matahari naik; maka tak mampu meneruskan tugas seperti biasa sebagai N.G.O (Noreh Getah Orang), maka tak mampu sediakan makan minum anak isteri seperti biasa, tapi Pak Chin tetap redha dengan qada dan qadar yang mengujinya.
 
Kami di Wargakilang merasakan, sengaja Tuhan ketemukan kami dengan Pak Chin dalam expedisi Jln-Jln Masuk Kampung kami kali ini kerana Tuhan nak kami belajar dari Pak Chin:
 
"Walau pun susah miskin melarat, tapi TUHAN jangan lupa"
 
Kaya ke Miskin ke kita, bila MATI nanti, jadi makanan ULAT juga kita semua.
 
Terima kasih Tuhan kerana menemukan kami dengan Pak Chin dan keluarga-keluarga di atas ini, insyaallah mereka-mereka ini mampu menjadi lubuk pahala untuk mereka-mereka yang mengerti maksudnya.
 
Sekian, sedikit kisah untuk renungan.
 
Nota:
(JJMK Wargakilang Utara - 4 Aug 2012,berkumpul di Tol Gurun jam 8 pagi)
(JJMK Kemaman, Terengganu - 28 Julai 2012, berkumpul di Masjid Geliga jam 7:30 pagi)
(JJMK Kuala Lumpur - 11 Aug 2012, sila rujuk Facebook Wargakilang untuk update terkini)
 
moniermatdin@yahoo.com
http://www.moniermatdin.blogspot.com/
http://www.facebook.com/wargakilang/groups/wargakilang/

2 comments:

AQUARIUSSAL said...

Assalamualaikum En. Monier. Terima kasih atas usaha En. Monier dan wargakilang yang memaparkan blog tentang keluarga yang memerlukan bantuan ni. Saya ingin hulurkan bantuan yang tak seberapa kepada mereka, insyaallah. Bagaimanakah cara untuk menghulurkan derma tersebut? Via Maybank atau CIMB bank boleh? Sekurang-kurangnya dapat juga saya berikan derma sempena bulan Ramadhan ni. Terima Kasih.

Mohd Monier Bin Mat Din said...

salam Tuan,

Kami tidak mengutip sumbangan cash. Modus operandi kami ialah ingin mengajak pembaca turun bersama2 kami pada hari aktiviti berkenaan, bawa wang & barangan sendiri dan bagi sumbangan sendiri. Kalau yg jauh, boleh melakukan perkara yg sama di tempat masing2...ramai sebenarnya yg miskin dan susah di sekeliling kita...carilah...insyaallah ada..