Thursday, July 12, 2012

Kisah Pak Chin

Baru-baru ini, waktu tengah bersiap nak hantar anak saya balik ke MRSM Baling, Kedah saya dapat call daripada seorang sahabat, juga dari Baling. Dia kata ada satu keluarga miskin yang dia nak sangat-sangat saya mai tengok kalau boleh.

Kata dia, naik kesian sungguh dia tengok keluarga 4 beranak ini; yang si anak kadang-kadang balik sekolah tak ada benda nak makan.

Biaq betoi – zaman orang Melayu dah naik Angkasa dah ni, masih ada lagi anak bangsa yang tak dak beras nak makan?

Lepas hantaq anak ke MRSM Baling, lebih kurang jam 6:30 petang saya suami isteri dan anak-anak tiba di rumah yang dimaksudkan. Panjat saja tangga kayu masuk ke dalam dan duduk bersimpuh dalam rumah kayu yang sempit ini, boleh nampak warna kemiskinan terbentang di mana-mana.

Dalam waktu yang agak singkat menjelang maghrib itu, saya cuba selami kisah hidup keluarga ini. Menurut Pak Chin (lupa tanya nama penuh dia, mungkin hashim, usin dsg nya), beliau asal keluarga miskin, berbangsat (merantau) dari daerah Pendang ke daerah Baling, mencari rezeki bekerja sebagai NGO (Noreh Getah Orang).

Setelah berkahwin dan bekeluarga, badi kemiskinan masih terus menghantui beliau; tidak mampu membeli tanah mahu pun membina rumah. Rumah kayu ini pun hanyalah rumah sewa dengan ihsan tuan tanah, sewa RM40 sebulan sudah 10 bulan tertunggak. Pak Chin sentiasa hidup dalam kebimbangan kerana bila-bila masa tuan rumah boleh mengusir mereka keluar; jika itu berlaku Pak Chin sendiri tak pasti ke mana harus dituju.

Lampu rumah hanya ihsan sambungan wayar letrik direct dari Dewan Orang Ramai bersebelahan. Air minum pula menurut kata isteri Pak Chin, mereka pergi tadah rumah ke rumah, tumpang paip rumah-rumah jiran yang punya bekalan air. Untuk mandi dan basuh kain baju pula, guna air telaga dari perigi berdekatan.

Apa masalah Pak Chin, walapun berusia 50an tapi nampak macam masih gagah dan sihat. Ya, raut badan Pak Chin memang tampak tegap dan gagah, hasil memanjat bukit dan kebun saban hari menoreh getah. Tapi, kali ini takdir mengatasi segala; mata kanan Pak Chin sudah lama rabun, yang kiri pula kini mulai jadi kelam, jam 10 pagi ke atas bila mentari mula memancar, pandangan mata Pak Chin mula jadi tak ketahuan.

Kecacatan penglihatan ini menyebabkan tak ada Tuan Pokok Getah yang sanggup bagi Pak Chin menoreh, tambah-tambah sekarang ini Getah di Tanah Felda berdekatan yang Pak Chin ambik upah menoreh sudah ditanam semula; pokok getahnya muda-muda, kalau silap toreh boleh rosak kulit pokok getah berkenaan. Diringkaskan cerita, Pak Chin kini kehilangan kerja.

Isterinya pula – saya lihat kurus kedengkiang – sedikit uzur dengan sakit di tekak yang berpanjangan; tak mampu buat kerja-kerja berat. Mungkin kerana kekurangan zat makanan agaknya.

Bila saya tanya Pak Chin, tanpa punca rezeki ini, macam mana dengan makan minum hari-hari, dan macam mana pula dengan persekolahan anak perempuannya yang 2 orang itu; seorang tingkatan 2 dan seorang lagi di darjah 4 – Pak Chin tengok sahabat saya tadi, kemudian pandang isterinya, dan kemudian pandang saya, macam agak keberatan nak bercerita.

Bila sahabat saya ni cakap kat Pak Chin suruh cerita aje kisah hidupnya yang sebenar-benarnya, kot-kot ada orang sudi membantu; dalam nada yang penuh segan Pak Chin habag:

1) Baru-baru ini DUA hari depa sekeluarga tak makan – lapaq tak tau nak habag.
2) Nak makan apanya, beras habis semua habis, DUIT tak ada.
3) Anak-anaknya tak pergi sekolah, bukan sebab tak ada duit belanja (memang tak ada duit belanja pun), tapi sebab LAPAR tak makan.
4) Bila anak-anaknya dok mai merengek cakap “Ayah, Mak, kami lapaq!!” – Pak Chin tak sampai hati, dia gagahkan juga diri dia, pi cari kawan-kawan, dapat RM10.
5) Dengan wang RM10 itu, Pak Chin habag dia pi beli BERAS 2 kilo (Harga RM1.90 sekilo). Selebihnya beli sedikit ikan masin dan lauk pauk.
6) Balik-balik saja, masak nasi dan terus makan – Pak Chin kata sedap tak terkira.
7) Pak Chin makan NASIK bergaul GARAM saja – lauk pauk Pak Chin bagi anak-anaknya makan sepuas hati.
8) Kemiskinan hidup tahap gaban ini menyebabkan Pak Chin dan isteri sedang menimbang dengan serius untuk menghentikan persekolahan anak-anaknya yang dua orang ini.

Bila dengar Pak Chin kata nak berhenti sekolah anak-anaknya ini, saya jadi terkedu - tak tau nak kata apa.

Saya jadi lagi terkedu bila dengar keluhan isteri Pak Chin. Dia kata:

“Bulan Puasa ini tak tau lah macam mana?”

(Mungkin maksud beliau, bulan puasa nanti anak-anak nak sahur dan buka puasa nak makan apa?)



Maka itu, sahabat-sahabat sekelian: di kala kita semua sedang mengadap makanan, tengah tahan lapar nak buka puasa nanti, atau pun di waktu kita tengah berebut-rebut membeli makanan di bazar ramadhan atau pun sedang beratur menahan selera melihat juadah enak buffet ramadhan di hotel-hotel nanti; INGATLAH bahawa di suatu sudut perkampungan sana, ada satu keluarga bernama Pak Chin yang tidak punya peluang menikmati juadah ramadhan seperti ini; Puasa mereka bukan setakat sebulan Ramadhan, tapi ianya berlanjutan sepanjang masa. Sekian.

Saya tulis cerita ini bukan nak minta sumbangan, tapi sebagai iktibar untuk kita semua menjelang Ramadhan yang penuh barakah ini. Moga ianya mampu menjadi tazkirah untuk semua.

Selamat Berpuasa dan Salam Ramadhan Buat Semua.


moniermatdin@yahoo.com
12.7.12
http://www.moniermatdin.blogspot.com/



No comments: