Sunday, May 13, 2012

JJMK Wargakilang: Kemiskinan di Pinggir Kota


Bismillah hirrohmaanirrohim,

(Saya garapkan cerita ini lillah hi taala, dengan niat akan ada insan-insan kamil berhati mulia akan turun menjejak langkah yang kami tinggalkan)

Weekend baru ni saya diberi kesempatan untuk turun ke KL, secara tepatnya di perumahan PPR Impian Baiduri, Jln 224, Seksyen 51A, PJ, tapi, bagi orang Utara secara lazimnya mana-mana tempat kat area Lembah Kelang tu, kami panggil KL aje; bersama-sama dengan kawan-kawan WARGAKILANG di sana memanjat rumah-rumah flat/pangsapuri di situ menjengah realiti hidup di pinggir kota.

(Sedang meng-agihkan brg2 mengikut keluarga di Stadium MPPJ Kelana Jaya)

Pada asalnya, saya tidak berniat untuk menggarap kisah perjalanan kami ini kerana blog saya moniermatdin.blogspot.com adalah lebih sinonim dengan kisah Jalan-Jalan Masuk Kg mencari keluarga daif dan miskin nun jauh di pedalaman-pedalaman desa. Lagipun, sudah ada sahabat dari sana yang sudah pun meng-abadikan itinerary terperinci aktiviti amal kami ini di website rasmi NGO Wargakilang secara live pada hari berkenaan.

Namun, dalam lebih kurang 4 jam perjalanan pulang ke Utara dari Ibu Kota, jiwa dan perasaan saya bagaikan berbaur, antara rasa sedih, terkilan dan suatu rasa yang tak dapat dihamburkan dengan kata-kata bila mengenangkan keluarga-keluarga yang baru kami tinggalkan ini.

Secara ikhlas, walaupun saya sedari bahawa memang ada org-org susah di pinggir-pinggir kota tapi saya tak sangka mereka itu berada dalam kesusahan dan kesempitan serta di UJI hidup begitu teruk sekali. Saya dok ingatkan org-org kampong kat ulu-ulu desa saja yang hidup perit sebegitu rupa, tapi di kota-kota pun ceritanya hampir serupa.

Semua sekali ada 25 keluarga yang kami kunjungi, termasuk di dalamnya keluarga susah anak ramai, keluarga OKU, Ibu-Ibu Tunggal dan juga Warga Tua.

Antara rumah terawal yang kami singgah ialah rumah Sdra Md Nor, 9 orang anak. Salah seorangnya OKU. Secara kebetulan Sdra Md Nor yg kerja Pak Guard swasta dengan gaji yang tak seberapa ini sedang terlantar sakit dek accident motor dua tiga hari lepas; maka kunjungan kami bersama-sama dengan brg2 keperluan harian yang rasanya boleh last untuk sebulan dua ini, Alhamdulillah bagaikan bulan jatuh ke riba buat Sdra Md Nor dan keluarga.


(Isteri Sdra Md Noor bersama 6 daripada 9 org anak-anaknya)


(Anak Sdra Md Noor yang OKU - t/kasih di atas sumbangan pampers ini)

Selepas habis aktiviti JJMK ini, waktu tengah dok makan nasi kandar di gerai berdekatan, sdra Warikh sahabat saya yg dulu kerja kilang di Kedah, sekarang dah jadi orang KL; dia kata pengalaman hari ini membuatkan dia rasa lepas ini dia dah tak layak dah nak buat komplen dalam bab apa sekali pun – sebab dia kata susah tara mana pun kita yang ada kerja tetap, ada rumah, kereta anak isteri makan minum dan kerjaya yg stabil ini; kalau kita nak bandingkan dengan Ujian yg Tuhan timpakan kpd keluarga-keluarga di Pangsapuri Impian Baiduri ini – bagaikan langit dengan bumi.

Dia kata, dia memang tak sanggup kalau UJIAN-UJIAN itu Tuhan turun mai kat dia.

Memang betul apa kata beliau itu.

Lihatlah Abang Li dalam gambar di bawah ini; dulunya meniaga nasi lemak, kini sudah bertahun lumpuh tersadai di kerusi Roda dengan kaki pula besar membengkak entah apa sebab. Isteri pula tidak bekerja.


Tidak cukup dengan Ujian ini, Tuhan anugerahkan pula beliau anak perempuan yang OKU, lumpuh terdampar di atas katil sepanjang masa. Ada sahabat kami yg terkejut sebab dia ingatkan Abang Li saja yg OKU, tak sangka anaknya juga OKU...sahabat kami ni kata dia jadi speechless!! - tak tau nak kata apa.


Terima kasih sungguh-sungguh dari Abang Li kepada siapa-siapa yang kirim kat kami Pampers-Pampers ini untuk anak beliau - ikhlas dari hati Abang Li. Bagi Abang li, Pampers-Pampers ini bernilai EMAS buat mereka.

Sayangnya, anak beliau tidak mampu membuka kata, jika tidak, nescaya rasa terima kasih yang serupa pasti diucapkan oleh adik kita ini.

Selain keluarga OKU, termasuk dalam senarai kami ialah keluarga Ibu Tunggal.

Semua sekali 12 keluarga Ibu Tunggal yang kami kunjungi. Bagi mereka yang pernah dibesarkan dalam keluarga yang ayahnya pergi awal, tentunya mereka paham bagaimana perit deritanya ibunda mereka membesarkan mereka seorang diri. Saya tidak mampu menyelami perasaan mereka ini kerana saya ditakdirkan punya ayah dan ibu sehinggalah mereka dijemput Illahi dalam keadaan saya sendiri sudah pun beranak isteri. Peritnya hidup seorang Ibu Tunggal hanya mereka yg berkenaan sahaja yang memahami.

Misalnya, Ustazah Siti dalam gambar di bawah ini.

(Ustazah Siti bersama 2 drpd 4 org anaknya – Suami Meninggal Dunia)

Berapa sangatlah gajinya sebagai Ustazah mengajar kelas KAFA; setelah ditolak sewa RM500-RM600 sebulan, berapa sangatlah yang tinggal untuk membesarkan 4 orang anak-anaknya yang masih kecil dan bersekolah ini?

Sukarnya membesar 4 orang anak-anak di pingggir kota dengan tekanan hidup dan harga barang yang kian meningkat, dengan sakit demamnya, wang sekolah, perbelanjaan rumahtangga dan urusan harian yang dulunya dilakukan suami kini terpaksa diuruskan seorang dirinya, perit dan deritanya hanya beliau dan rakan-rakan se-IT nya saja yang memahami. Moga Ustazah kita ini akan terus tabah menempuh hari-hari yang mendatang.

(Untuk hangpa-hangpa yang duduk di KL ni, ada masa bawa mailah beras barang sekampit dua beserta kain baju terpakai kalau ada, insyaallah keluarga-keluarga IT ini amat menghargainya, yg kami tau ada 12 keluarga, yang kami tak tau entah berapa ramai lagi – nak tolong org susah ini x payah mai kampung saya di Baling, Kedah ini pun tat pa haih, kat KL itu pun berlambak lagi keluarga yang perlukan – kalau nak mai saya boleh bagi no Kak Ros, contact kami kat sini).

Last sekali, saya nak tulis juga kisah kami melawat dua tiga keluarga WARGA EMAS di pangsapuri berkenaan.

Antara yang tak dapat saya lupakan ialah Nenek Zaiton (86 Tahun) yang tinggal bersama anak lelakinya yangmasih bujang juga bertaraf Warga Emas, berumur sekitar 60an. Bagi mereka berdua ini, sumbangan barangan tidak berapa penting kerana di usia yang sebegini sekampit beras pun boleh tahan beberapa bulan; yang penting kunjungan kami bertanya khabar berbual bertukar cerita.


(Saya mewakili rakan-rakan menyampaikan sumbangan).

Rasanya agak lama juga kami singgal di rumah ini; tak tau pasai apa, mungkin bagi saya kerana wajah beliau mengingatkan saya kpd arwah ibu saya yang sudah lama pergi. Yang saya agak terkejutnya, mungkin buat kesekian kalinya dalam siri kerja amal kami, inilah antara kisah yang tidak dapat kami lupakan.


Nenek Zaiton sedang Mendoakan Kami

Tanpa diminta, tiba-tiba Nenek Zaiton minta kami semua angkat tangan, dia boca DOA begitu panjang, dan kami pun dengan penuh kusyuk AMINkan DOA-DOA beliau itu. Antaranya beliau memohon dijauhkan bala, dan turut mendoakan sejahteraan DUNIA dan AKHIRAT buat semua yang terlibat dalam kerja amal ini. (Pertama kali ada penerima yang secara serius angkat tangan doa panjang buat kami).

Dengan keikhlasan yang jernih terpancar dari wajahnya ini, mudah-mudahan DOA-DOA tersebut akan dimakbulkan Allah SWT, dan terpalit doa kepada semua kita, tidak kiralah yang turun/tidak turun/kirim barang/kain baju atau sekadar tlg mengwar-warkan kpd rakan-rakan. Terima Kasih Semua.

Moga sedikit kisah kemiskinan dan keperitan hidup sebuah koloni bangsa yang terperosok di pinggir kota ini mampu membuka minda kita semua tak kiralah dari perkumpulan politik mana pun kita berasal.

Demi Allah, ada masa pi lah melawat dan bantu mereka.


moniermatdin@yahoo.com
13.5.12
http://www.moniermatdin.blogspot.com

2 comments:

Lt(B)Hj.Johar bin Hj.Shuib said...

Salam.. saya berpendapat ada juga baiknya saudara membuka ruang bagi penderma2 yg ikhlas ..sb tak semua org berkesempatan turut serta dlm program spt ini. Mgkin boleh wujudkan JK utk menguruskan dana yg terkumpul utk dibeli barang2 keperluan nanti.

Mohd Monier Bin Mat Din said...

salam,

Kpd sahabat2 yg berminat membantu keluarga2 yg hidup dlm serba keterpayahan di PPR Impian Baiduri ini, bolehlah hubungi contact kami di sana iaitu KAK ROS at 0162902643.