Monday, July 9, 2012

Kisah Mistik Dari Pondok

Sedar tak sedar sudah hampir satu dekad saya dan rakan-rakan di NGO Wargakilang masuk kampung keluar kampung dan sesekali menjengah masyarakat marhain di pinggir kota, mencari keluarga susah dan daif untuk dibantu.

Mungkin kerana berada di landasan ikhlas yang betul-betul benar gamaknya, maka sepanjang satu dekad perjalanan kami ini, berbagai pintu hijab dan kisah-kisah mistik yang tak pernah difikir dek akal dibuka luas di hadapan mata.

Kali ini, sempena bulan Ramadhan ini saya nak tulis di sini dua tiga cerita untuk perkongsian bersama.

Tahun lepas, NGO Wargakilang pernah buat projek gotong royong di Pondok Bandar Hilir Sik Kedah dan diikuti dengan majlis Korban Perdana pada tahun yang sama. Di situ kami mula mengenali 2 orang Ustaz Muda; Ustaz Ismail dan Ustaz Lias yang kisah perjuangan mereka meneruskan kesimbungan system pendidikan Pondok tradisional ini ada saya catatkan di link berikut:

http://moniermatdin.blogspot.com/2011/01/ngo-wargakilang-selangkah-ke-alam.html

Depa dua orang ini gaji bulanan depa – bila saya tanya Ustaz Ismail, dia kata ada la dlm empat lima ratus sebulan – selebihnya bergantung kepada envelope surat yang org hulur kat dia waktu dia dok pi bagi kuliah merata masjid itu. Macam itu juga dengan Ustaz Lias; cukup sekadar untuk lepas makan hari-hari dan habuan boh minyak kereta.

Keutamaan mereka berdua ini ialah untuk mempastikan sistem Pondok sistem pendidikan secara Islam yang berakar umbi dari Masjid Nabawi di zaman Rasulullah SAW terus hidup subur ke akhir zaman. Depa 2 orang ini cumalah KHUWAIDIN (Khadam/Hamba) yang TAKDIR hidup mereka adalah  untuk menjadi HAMBA kepada Pondok ini. Hari-hari dok fikir macam mana nak pastikan Pondok Bandar Hilir boleh terus hidup dan anak-anak murid kat situ dapat terus menadah ilmu sehingga khatam dan menjadi insan-insan kamil yang bertakwa. Itu saja matlamat depa, selain dari itu depa tak fikir apa-apa dah.

Sehinggalah pada suatu hari, ada seorang Makcik menalipon Ustaz Lias. Makcik itu tanya: “Ustaz, hari itu kakak singgah di sebuah masjid solat Zohor, kebetulan waktu itu ada seorang Ustaz buat kursus Haji. Selepas solat, kakak tumpang dengar ceramah tu. Ustaz ini kata, barangsiapa yang ada kemampuan nak pi HAJI tapi dia tak ada cita-cita nak pi buat HAJI, maka mati dia adalah mati dalam keadaan JAHILIAH. Betoi ka Ustaz?”

Ustaz Lias jawab: “Betoi la, awatnya?”

Makcik itu jadi terkejut, dia kata dia ada duit berlambak-lambak tapi tak terfikir lagi nak pi buat Haji. Maka tahun itu juga, Makcik ini dengan anak-anak, suami dan kaum keluarga dia, depa pi Mekah ambik Haji ikut pakej.

Bila balik dari Haji, Makcik ini talipon Ustaz Lias lagi, dia kata: “Ustaz, best sungguh pi Mekah ini Ustaz, pi sekali rasa macam nak pi sekali lagi. Ustaz tak teringin nak pi ambik Haji ka Ustaz?”

Ustaz Lias jawab: “Teringin, siapa tak teringin, tapi bekalan (RM) tak cukup”
(Ustaz Lias habag kat kami, dia cuma ada RM15 aje dalam buku Tabung Haji dia waktu tu)

Makcik tu kata, tak apa, nah ambik RM1000 dulu Ustaz pi register dengan Tabung Haji. Diringkas cerita, tahun itu dua-dua orang Ustaz Lias dan Ustaz Ismail dapat pi ambik Haji – Makcik itu sponsor, guna pakej RM25,000 seorang. Kata Ustaz Lias, kalau ikut logik akal, dengan cuma berbekalkan RM15 dalam buku Tabung Haji itu, tak logik aih boleh pi Mekah ambik Haji.

Sesungguhnya apa yang berlaku ini adalah balasan cash dari Tuhan di atas dunia ini lagi di atas keikhlasan mereka berdua membantu di Jalan Tuhan; seperti kata orang alim, kalau kita ikhlas membantu di Jalan Tuhan, insyaallah Tuhan akan membantu kita dari sumber rezeki yang tak disangka-sangka.

Agak jauh sikit dari Pondok Bandar Hilir ini pula, ada sebuah Pondok lain yang dipanggil orang sebagai Pondok Mat Nahu yang diasaskan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Mat Nahu. Pondok ini memang agak ke pedalaman, kisah Pondok ini ada saya catatkan di link berikut:

http://moniermatdin.blogspot.com/2011/04/bukan-semua-org-belajar-sebab-nak-dpt.html

Di sini tidak ada Wilayah CELCOM, Menara MAXIS mahu pun Orang Kunin DIGI; memang agak ke dalam sikit Pondok ini. Dalam banyak-banyak Pondok yang pernah team NGO WARGAKILANG kunjungi, Pondok inilah yang teramat daif sekali.

Di sini juga ada seorang Ustaz Muda; Ustaz Kamil, merangkap MUDIR Pondok Mat Nahu ini.. Berbeza dengan Ustaz-Ustaz Pondok yang lain yang mungkin sering memberi kuliah di luar kawasan, lalu mampu mendapat sedikit pendapatan extra untuk kesinambungan hidup seharian mahu pun untuk mencari dana bagi membaik pulih pondok masing-masing. Ustaz Kamil, mungkin kerana tidak ada liputan talipon bimbit agaknya, maka beliau dan pondok ini bagaikan terperosok di penjuru masa di pedalaman Kuala Beris ini.

Tahun lepas kalau tak silap, waktu lawatan kami di sana, waktu saya memberi sedikit ceramah motivasi Jati Diri untuk anak-anak muda berserban dan berjubah putih ini, memang jelas kelihatan dinding-dinding yang sedang mereput dimakan anai-anai dan atap zink berkarat berlubang sini sana dan juga lantai papan lama yang berkeriak-keriuk sewaktu kami tumpang berjemaah zohor bersama-sama mereka di situ.

(Penulis sedang menyampaikan ceramah motivasi Jati Diri)

(Sewaktu solat zohor, panas atap zink begitu cengkam merasa)

Lalu kami memutuskan untuk membantu setakat yang mampu. Sembang pi sembang mai, Ustaz Kamil bersetuju untuk kami melancarkan tabung membaik pulih Pondok Mat Nahu ini – menggunakan akaun Pondok (Agrobank) dan juga akaun beliau sendiri (Maybank). Kami Cuma tukang canang, memwar-warkan seantero internet, dan duitnya terus masuk ke akaun berkenaan.

Weekend baru ini, waktu kami ke sana lagi bertemu dengan Ustaz Kamil dan juga Tuan Haji Rozali (Penasihat Pondok); sewaktu menyaksikan kerja-kerja perobohan bangunan lama untuk digantikan dengan sebuah Dewan Solat yang lebih sempurna, saya ada ajukan satu pertanyaan kepada Ustaz Kamil.

Saya tanya: “Ustaz, saya nak tahu satu benda saja Ustaz, doa apakah yang Ustaz guna agaknya dan Ratib apakah yang Ustaz amalkan hinggakan daripada KOSONG RINGGIT dalam tabung itu, hari ini lebih kurang setahun saja dah mencecah RM130,000 lebih?”

Ustaz Kamil hanya ketawa kecil, dia macam segan nak cerita, cumanya dalam nada melawak dia kata, janganlah dok tanya sangat, nanti saya minta doa tiap-tiap minggu NGO WARGAKILANG kena turun sini, teruklah pulak!!. Ya lah, memang agak teruk buat kami, 3 jam perjalanan dari Pulau Pinang ke sini.

(Kerja-kerja meruntuhkan bangunan lama sedang dijalankan)

(Dewan solat tempat kami solat zohor tempoh hari sudah pun diratakan)

(Mudah-mudahan Dewan Solat ini dapat dibina semula seberapa segera)

Walau doa apa pun yang Ustaz Kamil pakai, kami yakin dengan cerita-cerita mistik yang pernah kami dengar kisah Tok Guru lama-lama yang meratib di tikar sejadah minta turun DUIT dari LANGIT. Ya lah, bukannya duit itu turun dari langit, tapi hasil Ratib dan Doa beliau itu, Allah SWT telah menggerakkan hati-hati kami yang tidak dikenali beliau ini, mai jauh dari kilang2 di Penang/Kedah untuk turun membantu. Inilah yang saya katakan sebagai mistik ini; macam mana kami boleh tergerak untuk turun mai melawat Pondok ini hari itu, kami pun tak tahu.

Terima kasih kepada yang menyumbang walau pun sekadar RM20 cuma, moga sumbangan kita semua yang tak seberapa ini akan digantikan Allah SWT dengan bangunan berteduh yang kekal abadi buat kita semua di Akhirat nanti, mudah-mudahan insyaallah.

Menurut Kontraktor (adik ipar arwah TG Hj Mat Nahu – yg tidak mengambil untung, hanya upah untuk pekerjanya), untuk bangunan yang sempurna perlu dalam RM220,000. Macam ini rasanya, Ustaz Kamil kena giat berdoa dan meratib lagi…:-))

Mungkin selepas ini giliran dinding hati tuan-tuan dan puan-puan pula yang bakal diketuknya. Apa-apa pun, tidak rugi melabur untuk Akhirat; after all, kata orang ALIM harta kita cuma sah jadi Harta kita sekiranya boleh dibawa ke SANA, kalau setakat di dunia ini, ada berjuta dalam bank pun, belum tentu hak kita lagi, bila meninggal nanti, belum sempat kain kafan ditutup orang, anak beranak dah mula kira berapa duit wang simpanan/epf/pencen/insuran yang boleh dikongsi. Mailah kita buat kerja amal dan kebajikan sementara nafas masih ada.

Sekian, mudah-mudahan bermanafaat buat semua.
moniermatdin@yahoo.com
http://www.moniermatdin.blogspot.com/

1 comment:

abdooss said...

Terima kasih berkongsi cerita.