AHAD 29 Dec 2013
Beberapa minggu lepas saya dimaklumkan oleh Sdra Shukri, TYDP NGO Wargakilang bahawa ada satu kumpulan NGO yg menamakan diri mereka sebagai Sanggar Suri dari KL yg diketuai oleh Puan Elly ada hantar mai beberapa kotak bungkusan susu untuk kanak-kanak yg memerlukan. Kerana sibuk dgn banjir di Kemaman, agihan susu tersebut saya tangguhkan hinggalah pagi tadi, ahad 29 Dec.
Sebetulnya bila duk baca posting Pn Elly pasal projek susu itu, saya agak skeptik sikit sebab nak agih2kan susu kpd golongan sasaran ini tidaklah semudah pi bagi beras dan kain baju, banyak faktor nak kena amik kira - lokasi, ada anak kecik ka, umur berapa, susu jenis apa, allergic kat susu-susu tertentu ka dan segala makneka persoalan lagi.
Hat paling penting sekali ialah SERASI dan SESUAI ka susu berkenaan dgn budak-budak itu, sebab selalu kita duk dengar kwn2 duk cerita:
"Anak I tak sesuai la dengan susu XYZ tu, ALLERGIC - nanti naik rash satu badan. Kena beli susu special, harga RM75 kat farmasi - hat besar tin sardin tu"
Itulah yg saya duk fikir sehinggalah kami pi hantar susu yg Elly kirim tu kpd keluarga penoreh getah di bertempat di rumah Pak Long Wahid sahabat arwah orang tua saya, di pedalaman Sik/Baling Kedah, siang tadi.
Sdra Zulkifli dlm gambar ini yg baru balik menoreh, menerima susu-susu tersebut dengan tangan terbuka dan penuh rasa gembira.
Awat tidaknya, anak lelaki beliau yg berusia 2 tahun itu sudah pun dua tahun hanya minum SUSU TIN saja - hat orang buat teh tarik tu, tak allergic pun!
Lagi seronok sebab dia sekarang ini tengah menunggu anaknya yg kedua yg bila-bila masa saja akan lahir dlm seminggu dua ini. Anak itu pun nanti dia akan bagi minum susu tin juga.
Ish tak sangka sungguh haih, di kala kita di pekan/kota ini duk kalut dgn susu apa yg tak allergic dan sesuai dgn anak-anak kita, dengan macam2 jenis jenama susu duk ada - nun jauh di pedalaman sana, ada keluarga penoreh getah yg masih bergantung harap kpd susu tin harga RM2.70 itu saja untuk anak-anak mereka.
Tkasih Pn Elly di atas cetusan idea asal dan sumbangan. Kalau ada lagi, insyaallah kami di NGO Wargakilang bersedia utk membantu mengagihkannya.
ISNIN 30 Dec 2013
Siang tadi pi jumpa sorang Ibu Tinggal yg kerja kantin sekolah part time, belum ada kerja tetap, tinggal bersama-sama 5 orang anak-anaknya (6,9,11,15 dan 17 tahun) menumpang rumah kakak beliau di Kepala Batas, P Pinang.
(Anak lelakinya yang berbaju biru ini cuba tampak gembira walhal dia sendiri tak sihat mana; kulit betis kakinya melupas macam OKU dan tulang betisnya mengecil kesan patukan bisa ular yang tidak dirawat dengan sempurna)
Mendengar kisah Kakak ini membawa diri bersama 5 orang anak-anaknya (seorang tiada dlm gambar) berhijrah ke P Pinang sehelai sepinggang dlm sebuah kisah perceraian keluarga miskin yg tragis di pedalaman Kedah ini (bekas suami kerja kg dan noreh getah orang) - bercerai kemungkinan besar atas faktor kemiskinan - mengingatkan saya kpd sdra Wahab, sahabat kami Ketua Wargakilang Utara yg punyai sejarah hidup keluarga yg hampir serupa.
Wahab selalu duk ulang cerita kat kami, ibu dan ayahnya bercerai berai angkara kemiskinan. Derita hidup anak org miskin/pengemis hanya Tuhan yg tahu, kalau buah mempelam hilang dari pokok mereka adik beradik dipersalahkan. Satu2nya waktu mereka makan sedap ialah bila ada kematian, hasil upah korek kubur dua tiga puluh ringgit dapatlah ayahnya beli lauk pauh yg enak buat mereka.
Setelah bercerai, depa adik beradik di bawa ke P Pinang dari kg mereka di Perak oleh ibunya, mencari rezeki dan mencuba nasib di sebelah sini. Alhamdulillah Wahab hari ini sudah berjaya, dan tak pernah lupa asal usulnya, giat membantu keluarga miskin/susah dan terpinggir di mana saja berada.
Wahab,
“Duit zakat/sedekah yg hang suruh aku bagi kat orang miskin itu, aku pas sebahagiannya kat keluarga ini. Aku tengok depa, aku teringat kat hang - sedih aku dengar cerita mak depa (tak boleh nak tulis kat sini) - aku harap, budak2 ini besar nanti akan berjaya macam hang !!”
Mudah-mudahan.
RABU 1 Jan 2014
Pagi nie cuba breakfast dengan roti gardenia cicah teh-o.
Teringat sambutan tahun baru bersama rakan2 NGO Wargakilang di rumah En Jaafar pengutip sisa tong sampah tegar di Flet Perda P Pinang malam tadi. Jiran dia bagitau, keluarga en jaafar ini sudah beberapa kali berpindah randah dihalau tuan rumah kerana x mampu bayar sewa. Rumah ini pun baru masuk aje, entah bila nak kena halau pula.
En Jaafar cakap, dua benda ja makanan asasi yg perlu dia bagi keutamaan tiap-tiap hari dgn pendapatan kutip sampah RM10 ke RM11 sehari tu, beras dua kilo (1kg= RM2.60) dan roti RM3.50 untuk anak-anak di rumah. Hat selebihnya beli ikan or ayam seketul dua - nak kena masak dan makan hari tu juga sebab rumah dia tak ada peti ais.
Ya lah, nak amik duit mana nak beli peti ais - nak beli seKAYA pun tak mampu. Roti gardenia tu pun cicah air saja !!
Kesian kat anak-anak en Jaafar 5 orang yang semuanya masih bersekolah itu – macam manalah budak-budak itu pi sekolah.
(Tepat JAM 12.00 Malam 1 Jan 2014 - Sambutan Tahun Baru di rumah en Jaafar)
Sekitar jam 12:15 malam, kami beransur keluar dari rumah en Jaafar di tingkat 4 perumahan Flet PERDA ini. On the way nak turun tangga, jelas kelihatan jauh di kaki langit sana, meriahnya orang menyambut tahun baru dengan letupan mercun dan bunga api berbagai rupa, tak henti-henti sejak dari tadi.
Kami sendiri tak pasti apa ertinya percikan Bunga Api dan Kemeriahan Sambutan Tahun Baru ini untuk keluarga miskin bandar, yang saban hari hidup dalam serba keterpayahan seperti en Jaafar dan anak-anaknya ini.
Namun, peluang menyambut kedatangan tahun baru bersama en jaafar dan keluarganya ini adalah kenangan yang terindah buat kami di NGO Wargakilang untuk tahun ini. Insyaallah, di lain kelapangan kami akan berkunjung ke sana lagi.
Moga ada manfaatnya.
moniermatdin@yahoo.com
http://www.moniermatdin.blogspot.com
www.facebook.com/wargakilang
1 comment:
Sebak pulak rasa bila baca entri ni...
Post a Comment