Sunday, November 14, 2010

Banjir di Kedah: Sebelum dan Sesudah

Seperti yang dijanjikan, lebih kurang seminggu selepas banjir besar melanda Kedah, kami berkunjung sekali lagi ke kampung yang pernah kami bantu sewaktu kemuncak banjir hari itu.

Ada kawan tanya, pasai pa nak pi kampung yang sama jugak?

Saya jawab, banjir kali ini besar sungguh, bukan setakat satu dua kampung yang terbabit, tapi ratusan permatang/kampung dan taman yang kena. Sebagai NGO kecik, kami tak akan mampu nak bantu semua kampung-kampung itu, jadi - kalau kami dapat tolong bantu satu kampung pun jadi lah.

Maka itu, tadi Ahad 14 Nov 2010 kami sekali lagi ke kampung yg pernah kami kunjungi di kemuncak banjir hari itu; ada kawan yang turun pi riki waktu banjir dah surut, dia habag kata bila dia tengok keadaan dlm rumah waktu depa dok tengah cuci tu sebijik macam kita nak masuk rumah sewa baru, apa pun tak dak hatta lantai pun tinggal simen saja; pinggan mangkuk dan kain baju serta peralatan lain terperosok kat satu penjuru bercampur dengan selut banjir yg berbau hanyir. Dapur gas pula tak boleh pakai sebab tersumbat dgn selut dll. Pendek kata memang tunggang langgang jadinya kehidupan penduduk kampung kat situ yg tak bersedia nak hadapi banjir besar yang mai secara tak disangka-sangka ini.

Melalui yahoogroup dan facebook (wargakilang - huruf kecil bersambung) kami buat rayuan kepada kawan-kawan mohon bantuan dlm bentuk barangan seperti dapur gas, tikaq, pinggan mangkuk, pakaian terpakai dan serba sedikit brg2 makanan.

Alhamdulillah, kami pun tak sangka, asalnya team NGO kami Wargakilang ini hanyalah 4 buah kereta yang confirm nak pi – tapi bila sampai di R&R Gurun, ada 13 buah kereta lebih kurang semua sekali. Turut sama bersama-sama kami ialah sebuah NGO yg depa namakan diri depa sebagai PEMBELA dari Pulau Pinang dan juga beberapa org kawan yg turun secara individu tanpa mewakili mana-mana parti, NGO atau pun kompeni. Ada sorang tu, dia mai nun jauh dari KL sana nu nak menyampaikan amanah ibunya minta dihulurkan bantuan secara bersemuka dengan mangsa banjir itu sendiri; kami rasa berbangga kerana beliau memilih kami untuk menunjukkan arah jalannya ke sana.
Bersama-sama kami juga ada team Baju Biru CSR dari INTEL mewakili syarikat INTEL secara rasmi yg diketuai oleh sdra Aznee dan juga Puan Azura. INTEL bagi sumbangan hampir beribu pieces pinggan mangkuk melamin yang berkualiti tinggi itu.



Saya pula, selain mewakili NGO Wargakilang, saya turut diwakilkan oleh KITA (Kulim Hitech Industrial Tenants Association – Persatuan Pekilang2 Kulim Hitech Park) untuk menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan seharian. NGO PEMBELA dan geng-geng kilang OSRAM, Pulau Pinang bawa mai 50 buah dapur gas. Kawan-kawan yg lain dari kilang Fuji, Seagate, Jabil, Honeywell, Venture dll bawa mai barang-barang yang lain, cukup untuk membantu memulihkan kehidupan 50 keluarga di kampung itu untuk jangka masa terdekat.


Pasal apa saya perlu tulis semua ini, sebab saya nak habag kata, sejak banjir melanda Kedah ini memang ramai individu/kompeni/NGO yang dah pi turun bantu mangsa-mangsa banjir ini, tapi sebab depa pi tanpa bawa lampu kamera media, maka cerita-cerita depa setakat berakhir di facebook dan diskusi group depa sajalah.

Dan satu lagi, depa-depa ini adalah antara kumpulan yang tak terpengaruh dengan cerita-cerita kata kerajaan Negeri tak ambik berat la, kerajaan Pusat lepas tangan la dan sebagainya. Depa yg turun sendiri depa tau lah.

Sembang bab Negeri vs Pusat, UMNO vs PAS ini vs Banjir ini, saya nak kongsi 2 cerita: waktu dok harung ayaq banjir waktu malam pi bantu mangsa banjir di Pendang, bila sampai rumah JKKKP (ketua kampung – UMNO) dia suruh kami amik gambaq dia, suruh habag kat org kata UMNO tak mai bantu dia. Saya tak tau nak kata apa sebab hari itu juga kalau tak silap, saya ada tengok dalam suratkhabar seorang YB Puteri UMNO dok harung ayaq sampai ke tangga. Macam tu jugak bila kami singgah di sebuah masjid (yg saya confirm kemudiannya sebagai masjid PAS), ada Kepala kat situ habag kat saya kata YB depa (PAS) tak turun-turun sejak banjir mula, dia kata dok sibuk di Kuala Lumpur saja. Malam itu saya baca dalam Internet, YB depa dok tengah harung ayaq bagi sumbangan kat kampung tak jauh dari kampung depa.

Makna kata, kalau semua YB tak kiralah PAS ka UMNO ka nak harung ayaq pi semua rumah-rumah kat Kedah ni, pakai masuk hospital habis la YB-YB ni, kami yg pi harung ayaq kat sebuah kampung itu saja pun ada yang balik demam 2 hari!

Makna katanya, dalam bab-bab malapetaka dan bencana alam macam ni, jangan la kita semua dok berharap kat YB saja atau nak salahkan kerajaan Negeri atau pun kerajaan Pusat semata-mata; kita ada kaki ada tangan, elok kalau boleh kita turun sendiri. Agak-agak tak mampu nak turun, lain kali kalau banjir besar mcm ni jadi lagi, boleh tolong kutip brg-brg makanan ka apa pi kirim kat mana-mana sukerelawan yang kita kenal yg dok turun pi bantu mangsa banjir itu.

Banjir kali ini memang teruk sungguh, untuk seminggu dua ini habis lintang pukang hidup depa-depa yang rumahnya berada dalam laluan air banjir ini. Depa cukup berterima kasih kalau ada sapa-sapa yg pi bantu tak kiralah kita ini parti politik ka, NGO ka, kompeni ka, individu ka atau sapa-sapa ka. Sebab itu agaknya bila dah habis bagi barang-barang sumbangan itu – dapur gas, tikaq, pinggan mangkuk, kain baju terpakai, brg2 makanan dll – bila sampai rumah, saya terima SMS daripada Kepala kat kampung itu, dia sms kata:

“Saya pun tak tahu nak cakap mcmana, cuma sampaikan ucapan terima kasih kpd semua yg terlibat dlm misi bantuan ini”.

Saya pun tak tau juga nak reply tulis apa, saya sms balik, saya jawab:

“Terima kasih sebab ucapkan terima kasih, moga Allah merahmati kita semua”.

Ya, moga Allah SWT merahmati kita semua, sebab kejadian banjir ini sebenarnya adalah satu pengajaran daripada Allah buat kita semua tak kira sapa. Orang alim kata Allah boleh jadikan benda itu ada dan boleh jadikan benda itu tiada, Allah boleh jadikan tanah itu kering kontang dan Allah boleh jadikan tanah itu penuh dengan air sejauh mata memandang. Semua ini Allah boleh buat kalau Dia nak; lihatlah gambar-gambar ini sesudah dan sebelum, masyaallah hebatnya kuasa Allah - Ayaq boleh mai tiba-tiba, kemudian boleh surut macam itu saja!







SEBELUM dan SESUDAH BANJIR




SEBELUM DAN SESUDAH BANJIR





SEBELUM DAN SESUDAH BANJIR


SEBELUM dan SESUDAH BANJIR (Tak sangka dalam sampai tara tu sekali waktu saya berenang hari tu - belakang tu sungai, patut la saya dapat saya arus ayaq dok tarik saya pi ke belakang rumah!)

No comments: